Menyaksikan masalah demi masalah, penindasan demi penindasan yang berlaku di kalangan penduduk terutama di pedalaman Sabah, Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat dengan kerjasama PAS Sabah pada pagi sabtu lalu melancarkan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan Bela Tanah Rakyat Sabah atau TABAH.

Majlis sederhana itu dilancarkan oleh YB Tuan Haji Salahuddin Ayub Ahli Parlimen Kubang Kerian Kelantan yang juga Naib Presiden PAS di Likas Square di hadapan kira-kira 200 tetamu yang hadir di kalangan penyokong Pakatan Rakyat dan wakil-wakil penduduk kampung yang tertindas dari Sipitang, Beaufort, Kota Marudu, Sook, Nabawan dan lain-lain lokasi. YB Salahuddin menjelaskan kehadiran TABAH dan PAS khususnya adalah untuk membela rakyat tanpa mengira agama dan kaum. Islam katanya mengajar penganutnya berlaku adil walaupun terhadap bukan Islam.

Terdahulu, Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman telah menyeru penduduk Sabah agar memberi sokongan kepada TABAH yang diketuai oleh Hishamuddin Sulaiman. Berdasarkan pengalaman beliau menjelajah ke beberapa daerah di Sabah, beliau mendapati banyak masalah yang dialami oleh penduduk kampung apabila tanah mereka dirampas, rumah diroboh dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Justeru, TABAH diwujudkan untuk membela nasib rakyat yang tertindas khususnya berkaitan dengan tanah.

Turut berpeluang meluahkan masalah mereka ialah wakil-wakil penduduk kampung dari pedalaman yang berkongsi cerita tentang permasalahan yang mereka alami di tempat masing-masing. Majlis berkenaan diakhiri dengan ucapan penangguhan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS. Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS Sabah Haji Mohammad Abdullah, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Lahirul Latigu dan wakil-wakil Pakatan Rakyat.