Undangannya bermula jam 9 pagi dan berakhir pada jam 3 petang. Kami sekeluarga tiba pada jam 2.30 petang, setengah jam sebelum waktu majlis berakhir. Lewat kerana saya baru tiba di rumah hampir jam 2 petang dari Kundasang, singgah ke rumah menjemput anak isteri dan terus ke Papar. Kami tiba dalam suasana perkarangan rumah hampir sunyi, tetamu tinggal sedikit dan kerja-kerja mengemas baru bermula.

Kami disambut oleh Ustaz Hamdani Omar dan isteri selaku keluarga terdekat pengantin perempuan. Kali terakhir ke rumah ini ialah pada awal 2010, menziarahi janazah Allahyarham Ustaz Abidin yang kembali kerahmatullah, saat yang sama Ustaz Hamdani mewakili abangnya itu dalam majlis pertunangan Effa di ibu negara.

Saya dimaklumkan oleh Ustaz Hamdani rombongan pengantin lelaki tiba di Kota Kinabalu pada pagi sabtu dan majlis pernikahan berlangsung pada sebelah petangnya. Saat kami tiba sehingga pulang, saya langsung tidak bertemu dengan pengantin, baik lelaki atau perempuan kerana dikhabarkan sudah keletihan melayan tetamu yang hadir dalam majlis kesyukuran mereka sejak awal pagi.

Namun, kehadiran rombongan hampir 20 orang siswa-siswi Sabah Mesir tiba sekitar jam 3 petang menambahkan ceria petang itu. Kebanyakan mereka adalah anak-anak murid Ustaz Hamdani dan Almarhum Ustaz Abidin, datang untuk mengucap tahniah kepada pasangan pengantin sekaligus menziarahi Ustaz Hamdani.

Abu Nuha Corner sekeluarga mengucapkan tahniah dan semoga berbahagia dunia akhirat. Barakallahu lakuma, wa baraka alaikuma, wa jama’a bainakuma fii khair. Semua foto di bawah diambil oleh Nuha, ni sajalah yang ada.