Khatib : Ustaz Haji Parmin Sahlan

Lokasi : Masjid Bandaraya Kota Kinabalu

Manusia yang benar-benar beramanah ialah Nabi Muhammad SAW yang telah menunaikan seluruh kewajipannya sebagai penegak agama, penyelamat ummah, pembela dhuafa’, pendidik masyarakat. Baginda juga sebagai ketua keluarga, sebagai ketua negara dan sebagai pemimpin seluruh alam.

Penegasan Islam tentang hak dan amanah ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadithnya yang bermaksud :“Sesungguhnya darah-darahmu, harta-hartamu dan maruahmu adalah haram atasmu semua seperti kesucian harimu ini, di negerimu ini dan dalam bulanmu ini. Dan engkau semua akan menemui Tuhanmu lalu Dia akan menanyakan kepadamu semua perihal amalan-amalan kamu. Ingatlah!, maka janganlah kamu semua kembali menjadi orang-orang kafir selepasku, sebahagiannya menetak leher sebahagian yang lain (berbunuhan tanpa dasar kebenaran). ” (Muttafaqun ‘Alaih)

Persoalan hak dan amanah sebenarnya berkait dengan hak-hak Allah SWT yang wajib ditunaikan, hak-hak manusia yang perlu dilaksanakan termasuklah kepada diri sendiri, anak-anak, keluarga, jiran-tetangga dan masyarakat keseluruhan. Beriman kepada Allah SWT dengan mentaati segala perintah-Nya adalah suatu amanah, menyeru kepada kebaikan adalah amanah, mendidik anak-anak juga adalah amanah. Menunaikan solat, puasa, zakat dan sebagainya merupakan sebahagian dari amanah.dengan kata lain semua persoalan hidup ini adalah amanah.

Ibnu Mas’ud pernah berkata: Ingatlah bahawa solat itu adalah amanah, wuduk itu juga adalah amanah, mandi wajib adalah amanah, timbang menimbang adalah amanah dan yang paling berat sekali ialah wadi’ah iaitu barang simpanan orang yang dipercayakan kepadamu untuk menyimpannya.

Pelaksanaan amanah di kalangan sesetenggah anggota masyarakat pada hari ini amat membimbangkan. Banyak tanggungjawab yang diabaikan samada berkaitan hubungan dengan Allah SWT atau sesama manusia. Kita dapat melihat ramai di kalangan kita yang mengabaikan solat, memandang remeh kewajipan berzakat, kikir untuk mengeluarkan sedikit harta untuk bersedekah.

Ramai juga dikalangan kita yang mengabaikan tanggungjawab terhadap rumah tangga, anak-anak diabaikan. Betapa banyak kes anak-anak yang lari dari rumah yang dilaporkan. Gejala sosial semakin menjadi, kecurian berlaku di mana saja sehingga ada di kalangan mereka yang sanggup mengambil harta benda dan tabung jemaah di masjid. Akauntabiliti pengurusan agensi kerajaan dalam sektor awam dan swasta pada masa ini juga pada tahap membimbangkan. Seringkali dilaporkan berlaku kejadian pecah amanah, penyelewengan kuasa, rasuah, membazir masa dan sebagainya yang merugikan negara.