Meski waktu ceramah bersama warga pensyarah dan kakitangan Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat (SKTM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) beranjak dua kali – dari 9 pagi kepada 10 pagi, kemudian kepada 10.30 pagi, saya tetap mempunyai kenangan manis di sini. Ceramah sempena Maulidur Rasul menekankan aspek ibadah solat – sebagaimana yang diminta urusetia – yang sebahagian besar isi ceramah belum pernah saya bentangkan di mana-mana.

Saya juga tayangkan sebagai muqaddimah pertemuan itu dengan dua video klip berkenaan solat dari youtube, satu klip solat ekspress dan satu lagi klip solat tarawih 27 Ramadhan di Iskandariah Mesir. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui betapa kerdilnya saya membentangkan tajuk ini dengan menyedari bahawa Allah SWT Maha Mengetahui bagaimana pula kualiti solat saya sendiri.

Memetik kata-kata para ulama’ bahawa orang yang enggan solat dengan sengaja sedangkan ia menyedari kewajibannya, mereka adalah orang-orang yang sombong. Ia berpijak di bumi yang Allah cipta, bernaung di bawah langit ciptaan Allah, bernafas dengan udara yang Allah bekalkan, berfikir dengan akal kurniaan Allah tetapi ia enggan rukuk dan sujud kepada Allah SWT.

Terima kasih Tuan Dekan yang hadir bersama dan para pensyarah yang sudi pula mendengar syarahan dan leteran saya. Mudah-mudahan pembentangan ini menepati kehendak penganjur dan ada manfaatnya untuk diri saya sendiri dan kita semua.