Saya tiba di Masjid Tun Ahmadshah Kg Inanam Laut sekitar 12.15 tengahari. Nampak saya kereta Tun Ahmadshah sudah tiba. Memang sejak dahulu kebiasaan beliau untuk hadir ke masjid-masjid untuk solat jumaat tiba sekitar waktu itu. Sebenarnya saya tidak menjangka beliau akan jumaat di situ minggu ini.

Hingga pertemuan kali ini, barulah saya menjadi khatib dan imam ketika beliau ada bersama selepas kali terakhir berlaku tepat 3 tahun lalu. Sejurus solat tahiyyatul masjid, saya menyapa beliau yang berada di kanan saya. Beliau nampak kemas, hebat dan tawadhuk dengan jubah dan kopiah putihnya. Beliau selesa duduk di tempat biasanya – di sebelah kiri yang pertama belakang imam.

“Ustaz, di JHEAINS masih di bahagian yang sama?”

“Ya Tun”, jawab saya.

“Sabarlah ustaz”.

“Saya tidak pandai meminta, Tun”, saya merujuk kepada perangai sendiri. Entah apa namanya, mungkin tawadhuk, atau pemalu tidak bertempat. Sejujurnya, saya sepatutnya berpeluang untuk meminta sokongan beliau ketika di Istana Negeri dahulu untuk meminta jawatan itu dan ini tetapi itu tidak saya lakukan. Tidak ramai tahu jawatan saya ‘tidak padan’ dengan kelulusan yang saya ada, tapi saya biarkan saja. Tetapi lebih penting ada cerita yang menjadi kenangan kami berdua yang menyebabkan beliau menenangkan saya.

Tun kemudian bercerita kisah silamnya. “Saya pun dulu begitulah juga ustaz. Dihantar ke sana sini”. Ia barangkali merujuk nasib yang beliau alami ketika zaman pemerintahan PBS yang menguasai Sabah antara tahun 1985-1994. Sebenarnya beliau pernah bercerita kepada saya dahulu pada tahun 2007. Sembang itu terhenti sebentar untuk memberi laluan kepada azan jumaat dan khutbah yang saya sampaikan.

Selesai solat jumaat, cerita kami bersambung.

“Khutbah ustaz bagus. Ustaz mengingatkan tentang kepimpinan”, katanya. Saya menghubungkaitkan kehidupan Rasulullah SAW yang serba sederhana dan dibandingkan dengan kemewahan pemimpin hari ini yang mengambil kesempatan dengan harta rakyat. Saya tujukan kepada sesiapa saja, sama ada ia pemimpin di Malaysia atau pemimpin negara Arab yang kebetulan dalam suasana revolusi saat ini. Barangkali berkait juga dengan kisah silam Tun.

Beliau bercerita lagi tentang zaman kanak-kanaknya yang serba susah, naik satu demi satu tangga sehingga menjadi TYT Sabah. Katanya, rumahnya yang ada kini pernah dikunjungi Tan Sri Chong Kah Kiat untuk memaklumkan perlantikan sebagai TYT Sabah pada akhir november 2002. Kami tiada rumah lain, katanya. Sudah dua bulan keluar dari istana, rumah belum siap berkemas.

“Semalam saya bongkar beg, nampak jubah putih ni. Saya seterika sendiri, sebab mau pakai hari ni”, saya tersengih mendengar.

“Tun kena buat buku”, cadang saya. Rupanya niat itu sudah ada dan kini sudah memulakan proses dengan bantuan seorang pensyarah di UMS. Biografi itu katanya dia hendak tujukan kepada generasi muda yang hidup susah, bahawa untuk berjaya perlukan kepada usaha dan tawakkal kepada Allah SWT.

“Ustaz, nanti minta salinan khutbah tadi, saya mahu simpan”, mengakhiri sembang kami lebih setengah jam itu.