Malam jumaat lalu kami diundang ke sebuah hotel di Bandaraya Kota Kinabalu untuk majlis doa selamat. Kami dimaklumkan beberapa bilik di hotel berkenaan bermasalah dan menghadapi gangguan makhluk halus. Majlis berkenaan bermula dengan solat isyak dan hajat dipimpin oleh Ustaz Nasir Harun dan Ustaz Nik Anwar Zakaria.

Kemudian sesi berikutnya diadakan bacaan surah Yasin dipimpin oleh Ustaz Arbaen Shawal. Selesai doanya, Ustaz Nik Anwar mengarahkan kami yang hadir sekitar 30 orang mengambil tempat untuk melaungkan azan di dalam bangunan hotel berkenaan. Berdasarkan hadith Nabi SAW, antara manfaat azan ialah untuk menghalau syaitan dan jin daripada mengganggu manusia.

Barangkali ada di kalangan kami yang pertama kali hadir dalam program sedemikian sehingga diarahkan mengazankan bangunan tersebut. Saya tersenyum apabila mengingatkan arahan Ustaz Nik Anwar agar azan dilaungkan dengan bersemangat seperti orang yang berjihad, ada di kalangan kami azan mendayu-dayu, sengau, sumbang dan bermacam-macam gaya. (Barangkali suka benar jin mendengarnya. Hihihi).

Walaubagaimanapun ini menjadi kenangan dan pengalaman manis untuk membantu saudara yang sedang dalam kesusahan menurut kadar kemampuan masing-masing. Mudah-mudahan bukan setakat jin berkenaan yang bertempiaran lari tetapi juga manusia-manusia yang ingkarkan Allah SWT yang berada di sekitar bangunan berkenaan cabut lari.