Archive for 26 Februari 2011


Lokasi : Masjid Jamek Tun Ahmadshah, Kg Inanam Laut

Khatib : Abu Nuha

Umat yang benar-benar cinta kepada Allah dan rasul-Nya akan berasa bangga untuk memberitahu kepada dunia tentang kehebatan Rasulullah SAW yang berjaya mengubah keadaan dunia daripada kelam kufur kepada cahaya iman, daripada kezaliman jahiliah kepada keadilan Islam.

Kita akan bangkit menentang sesiapa sahaja yang merendah-rendahkan baginda sebagai tanda kasih dan sayang yang tidak berbelah bahagi kepada rasul mulia ini. Baginda menjadi ikutan utama kita dalam setiap aspek kehidupan dari sekecil-kecil urusan sehinggalah kepada sebesar-besar perkara kerana baginda bukan sekadar memberitahu sebaliknya baginda melaksanakannya untuk mudah diikut oleh kita semua.

Rasulullah SAW telah ditarbiah sejak kecil dengan kesusahan demi kesusahan disamping menjauhi amalan syirik dan merosakkan akhlak walaupun berada di sekeliling masyarakat jahiliah. Sesuai dengan keadaan baginda yang pernah merasai keperitan hidup sebagai anak yatim piatu, maka baginda begitu mengambil berat tentang anak yatim serta sentiasa menggalakkan umat Islam supaya mengasihi anak yatim disamping begitu murka terhadap sesiapa yang menzalimi anak yatim.

Begitu juga dengan kehidupan baginda yang menjauhi kehidupan mewah bertujuan mendidik umatnya agar tidak menjadikan dunia sebagai matlamat utama. Kemiskinan yang dilalui oleh nabi bukannya disebabkan baginda pemalas kerana betapa banyak harta baginda yang dikorbankan dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini.

Nabi Muhammad SAW banyak kali menolak tawaran kemewahan samada daripada musuh Islam mahu pun permintaan daripada malaikat bertujuan menjaga keikhlasan umat Islam supaya memeluk Islam kerana Allah bukannya untuk mengejar kemewahan. Banyak kisah yang dibentangkan kepada kita tentang kehidupan nabi Muhammad SAW yang susah namun kemiskinan nabi bukan membawa kepada kehinaan sebaliknya dilihat oleh pemimpin dunia sebagai suatu kehebatan dan pengorbanan yang begitu mulia dalam membela nasib manusia.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas tentang kisah Sayyidina Umar al-Khottab semasa beliau menziarahi nabi di mana kata Umar :

“Aku pun duduk dan aku lihat bekas tikar pada tubuh Nabi Muhammad SAW Aku ternampak segenggam gandum dan sekeping kulit tergantung lalu aku pun terus menangis. Baginda SAW terus bertanya : Wahai Ibnu Khottab. Mengapa engkau menangis? Aku menjawab : Mengapa tidak wahai Rasulullah! Aku ternampak bekas tikar kasar di tubuhmu dan aku melihat hartamu hanyalah sekadar apa yang aku lihat sekarang. Bayangkan Maharaja Rom dan Parsi yang hidup dalam kelazatan sedangkan engkau adalah nabi hidup seperti ini. Lalu Nabi terus bersabda : Wahai Ibnu Khottab, apakah engkau tidak redha bahawa bagi kita adalah akhirat dan bagi mereka hanya dunia?”

HALAU JIN

Malam jumaat lalu kami diundang ke sebuah hotel di Bandaraya Kota Kinabalu untuk majlis doa selamat. Kami dimaklumkan beberapa bilik di hotel berkenaan bermasalah dan menghadapi gangguan makhluk halus. Majlis berkenaan bermula dengan solat isyak dan hajat dipimpin oleh Ustaz Nasir Harun dan Ustaz Nik Anwar Zakaria.

Kemudian sesi berikutnya diadakan bacaan surah Yasin dipimpin oleh Ustaz Arbaen Shawal. Selesai doanya, Ustaz Nik Anwar mengarahkan kami yang hadir sekitar 30 orang mengambil tempat untuk melaungkan azan di dalam bangunan hotel berkenaan. Berdasarkan hadith Nabi SAW, antara manfaat azan ialah untuk menghalau syaitan dan jin daripada mengganggu manusia.

Barangkali ada di kalangan kami yang pertama kali hadir dalam program sedemikian sehingga diarahkan mengazankan bangunan tersebut. Saya tersenyum apabila mengingatkan arahan Ustaz Nik Anwar agar azan dilaungkan dengan bersemangat seperti orang yang berjihad, ada di kalangan kami azan mendayu-dayu, sengau, sumbang dan bermacam-macam gaya. (Barangkali suka benar jin mendengarnya. Hihihi).

Walaubagaimanapun ini menjadi kenangan dan pengalaman manis untuk membantu saudara yang sedang dalam kesusahan menurut kadar kemampuan masing-masing. Mudah-mudahan bukan setakat jin berkenaan yang bertempiaran lari tetapi juga manusia-manusia yang ingkarkan Allah SWT yang berada di sekitar bangunan berkenaan cabut lari.

%d bloggers like this: