Pertama kali berkunjung ke sekolah missionari ini hasil jemputan sahabat seusrah Ustaz Amir Hamzah Jaafar yang bertugas di sini. Katanya, setiap tiga bulan pihak sekolah memberi ruang setiap agama mengadakan sesi ceramah sekitar sejam yang mengumpulkan agama masing-masing. Ketika saya tiba, tiga kumpulan mengambil tempat masing-masing.

Pelajar beragama Islam sekitar 180 orang membentuk hampir 30 peratus keseluruhan pelajar sekolah sudah bersedia menanti kehadiran saya. Sementara dua kumpulan lain ialah pelajar beragama Kristian Katolik dan Kristian yang lain seperti SIB, SDA dan Anglican di tempat masing-masing. Dalam kumpulan kami, beberapa guru beragama Islam turut hadir mengawasi para pelajar yang lengkap menutup aurat kesemuanya. Saya dimaklumkan hanya ada dua guru agama (ustaz) yang ditempatkan di sini.

Saya mengisi masa terbatas dengan tazkirah bertajuk ‘adab dan batas pergaulan’, terutama dengan kawan rakan di sekolah dan persekitaran tempat tinggal masing-masing. Saya mulakan dengan persoalan niat dan tujuan berkawan, perkataan dan perbuatan semasa bersahabat yang mesti diambil kira sebagai seorang muslim. Seorang rakan juga patut tahu dengan siapa mereka bersahabat, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dari segi penampilan, percakapan, lenggok dan pergerakan badan, suasana pertemuan dan seumpamanya.

Menariknya pengisian di sini, para pelajar memberikan tumpuan yang sangat baik dan memberi respon dengan persoalan yang saya lontarkan kepada mereka. Saya gembira hadir dan berkongsi masa bersama mereka, mudah-mudahan bertemu lagi satu masa nanti.