Janji sudah dibuat beberapa minggu sebelumnya namun setelah beberapa kali rundingan kerana bertembung dengan program-program lain, akhirnya kursus berkenaan berjaya juga diadakan di premis mereka di bangunan KUWASA, Karamunsing pada 22 Februari lalu. Hakikatnya, saya belum pernah mengendalikan kursus seumpama ini walaupun sudah beberapa kali hadir sebagai peserta.

Saya kuatkan hati dan perasaan untuk memberanikan diri menyampaikan kursus ini bersama 60 peserta di kalangan pelajar lelaki dan perempuan termasuk beberapa pensyarah dan pentadbir yang turut sama. Saya difahamkan beberapa pelajar bukan Islam ada hadir sama. Rundingan kami untuk melewatkan masa daripada 9 pagi kepada 11.30 pagi kemudian dianjak lagi ke jam 1 tengahari nampaknya ada hikmah tersendiri. Lebih ramai peserta yang datang berbanding sasaran 40 peserta penganjur.

Program ini berlangsung dengan empat slot. Pertama ‘perkara yang berkaitan dengan orang yang sakit’ seperti derita menghadapi kematian, adab menziarahi orang yang sakit, persiapan menghadapi kematian, perkara yang dilakukan sejurus kematian seseorang. Slot kedua pula bertajuk ‘pengurusan janazah : antara adat dan ibadat’ membincangkan perkara-perkara adat yang berlaku dalam masyarakat ketika mengurus janazah. Ia penting dibahaskan agar peserta memahami perbezaan kedua-duanya.

Slot ketiga ialah ‘pengurusan janazah’ berkaitan dengan empat perkara yang menjadi kewajiban bagi mereka yang hidup terhadap orang yang telah meninggal dunia iaitu memandikan, menkafankan, mensolatkan dan mengkebumikan. Penerangan bermula dengan penyediaan alat-alat mandi, sifat-sifat juru mandi dan cara-cara memandikan serta adab-adabnya. Ia diikuti dengan peralatan dan cara mengkafankan janazah.

Slot ketiga ini disampaikan secara teori manakala slot keempat menampilkan model-model untuk menjadi janazah, jurumandi, praktikal memandi dan mengkafan dan menyembahyangkan janazah. Hanya tidak dapat menyelesaikan bab berkenaan pengkebumian kerana kesuntukan masa. Alhamdulillah saya mendapat pengalaman yang sangat berharga ketika menyampaikan ceramah dan praktikal kursus ini. Tidak dinafikan kelemahan yang berlaku kerana ia pengalaman pertama, namun ia menjadi latihan yang baik buat diri saya sendiri.

Terima kasih buat tuan pengetua sdr Hisyam Hashim yang memberi sokongan penuh, Puan Noorbety Ramli yang mengatur sejak awal, para pensyarah yang hadir serta semua pelajar yang terlibat terutama mereka yang sanggup menjadi model seperti menjadi mayat, jurumandi, tukang kafan dan praktikal solat. Semoga ada manfaatnya. Saya gembira dan seronok bersama kalian.