Ia sebenarnya satu impian untuk berucap di daerah kelahiran sendiri, apatah lagi dalam jumlah kehadiran yang ramai. Pada awalnya saya dihubungi oleh Imam Daerah Tuan Imam Haji Raffee Md Salleh yang sudah saya kenali beberapa tahun lalu. Beliau memaklumkan hampir 2 minggu sebelum majlis berlangsung. Pilihannya hanya dua, Ustaz Haji Bungsu Aziz atau saya.

Saya kurang maklum puncanya kami berdua menjadi sasaran mereka, tapi saya mengagak barangkali kerana ceramah itu perlu diselitkan dengan dialek brunei yang menjadi majoriti bahasa penduduk selain kedayan. Di hujung talian, Imam Raffee seolah mengiyakan. Saya hubungi Ustaz Bungsu dan nampaknya beliau berhalangan kerana tarikh berkenaan berangkat ke ibu negara. Saya pula sudah diundang ke kursus pengurusan janazah anjuran PTPL.

Penganjur khabarnya memutuskan mengundang Ustaz Awwaluddin dari Bahagian Dakwah JHEAINS. Takdirnya beliau juga berhalangan dan saya  diminta sekali lagi untuk hadir mengisi slot ceramah. Akhirnya saya berbincang dengan PTPL untuk menganjak masa daripada jam 9 pagi kepada 1 tengahari, agar kedua-dua program dapat saya sertai. Alhamdulillah nampaknya itu satu keputusan yang ada hikmahnya yang tersendiri.

Saya bermusafir sekali lagi ke Sipitang ditemani oleh Masri Rosdi, siswa al-Azhar yang sedang bercuti. Kami berangkat jam 11.30 isnin malam selasa dan dengan perjalanan yang santai tiba sekitar jam 1.20 pagi di rumah pakcik di Kampung Buang Sayang Sipitang, kampung kelahiran saya. Dua kali datang dalam tempoh 3 hari.

Majlis bermula sekitar jam 7.30 pagi dengan perarakan bersama 19 kontinjen diketuai oleh Ahli Parlimen Sipitang Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad dan ADUN Sindumin Haji Ahmad Haji Bujang dengan kehadiran tidak kurang 1500 tetamu pelbagai kampung, masjid, jabatan dan lain-lain lagi. Acara dewan pula berlangsung di Dewan Serbaguna tepat pada jam 9 pagi dengan ucapan Pegawai Daerah dan Ahli Parlimen yang menjadi perasmi. Saya mengambil giliran berikutnya untuk ceramah sekitar 35 minit sebelum berhenti pada jam 10 pagi.

Majlis yang sama juga disambung dengan festival nasyid peringkat daerah yang menampilkan empat kumpulan nasyid untuk memilih wakil ke peringkat bahagian dan negeri kelak. Walaubagaimanapun saya tidak dapat menanti sehingga ke hujung kerana perlu berada di Kota Kinabalu untuk majlis berikutnya pada jam 1 tengahari pula. Terima kasih atas undangan yang berharga ini khususnya kepada sahabat saya, Penolong Pegawai Tadbir Agama (PPTA) JHEAINS Sipitang Ustaz Mohd Hafidz Ahmad, Tuan Imam Haji Raffee dan seluruh JK Sambutan Maulidur Rasul 1432 daerah Sipitang.

Foto menyusul..