Barangkali kerana ‘demam’ program Imam Muda Astro Oasis musim kedua yang bakal melanda, apatah lagi Kota Kinabalu turut menjadi salah satu lokasi uji bakat, SMK Tansau Putatan mengambil inisiatif  untuk mengadakan program ‘imam muda’ versi sekolah berkenaan pada sabtu dan lepas di surau sekolah anjuran Panatia Pendidikan Islam.

Saya sendiri diundang oleh sahabat saya salah seorang guru agama di sana Ustaz Mohd Sa’aban Anton untuk mengisi salah satu slot ceramah pada  pagi sabtu lalu berkaitan ‘tanggungjawab sebagai pemimpin dalam Islam’, dalam konteks masyarakat setempat seperti di kampung-kampung, taman-taman perumahan dan seumpamanya.

Kepada peserta seramai 42 pelajar terpilih dan juga semua guru agama yang hadir termasuk pengetua yang meluangkan masa bersama-sama – Datin Hajah Patimah Ali yang sangat saya hormati, saya bentangkan beberapa peranan dan kepakaran yang biasanya diperlukan khususnya dalam masyarakat Islam di Sabah. Kepakaran-kepakaran ini sebaiknya dimiliki oleh anak-anak muda untuk menjadi pemimpin dan penggerak masyarakat.

Antaranya melaungkan azan, mengimamkan solat fardhu termasuk jumaat dan solat janazah; imam solat sunnat seperti tarawih, hari raya, gerhana dan seumpamanya; berkhutbah dan menyampaikan tazkirah; mengurus janazah; memimpin majlis bacaan yasin, doa selamat dan tahlil; memimpin tadarrus al-Quran; membaca rawi barzanji dan marhaban; menggunting rambut dan tahnik bayi, menyembelih haiwan seperti ayam, kambing, lembu dan kerbau; mengetahui doa-doa tertentu dan banyak lagi.

Antara tanggungjawab, sifat dan peranan bagi seorang pemimpin atau imam ialah sentiasa ikhlas kerana Allah SWT, mempunyai ilmu khususnya dalam sesuatu bidang yang diceburinya, bersedia untuk menegur kesilapan masyarakat, berlapang dada jika ditegur, berani melaksanakan amanah, sentiasa memperbaiki diri, istiqamah dengan amal Islami seperti solat berjamaah, tilawah al-Quran dan sebagainya, dan sentiasa berakhlak mulia khususnya dalam pergaulan.

Selain ceramah berkenaan, pihak penganjur juga mengadakan beberapa slot dan halaqah latihan dalam kumpulan untuk membimbing secara praktikal beberapa kemahiran yang telah ditetapkan. Saya ucapkan tahniah kepada pengetua, guru-guru panitia pendidikan Islam serta anak-anak yang terlibat, semoga mencapai objektif yang disasarkan.

Advertisements