Archive for 21 Februari 2011


Lokasi : Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru, Putatan

Khatib : Abu Nuha

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Ketika menyambut Maulidur Rasul dengan pelbagai cara dan program maka tanyalah diri kita samada kita benar-benar kenal dan cinta pada baginda atau hanya sebagai adat dan perayaan tahunan sahaja. Berapa banyak sunnah nabi yang telah kita berjaya laksanakan dalam kehidupan seharian atau hanya pandai menyebut dan mendengar sahaja walaupun puluhan tahun kita menyambut Maulidur Rasul.

Hayatilah kisah-kisah yang menceritakan bagaimana hebatnya rasa kasih dan cinta para sahabat kepada baginda. Antaranya ialah kisah seorang sahabat Nabi SAW bernama Thauban. Pernah suatu ketika beberapa hari Thauban tidak melihat Nabi SAW. Ketika dia nampak Nabi SAW datang, maka Thauban pun berkata : “Aku rindu kepadamu, wahai Rasulullah.”

Kemudian Thauban menangis, lalu Nabi SAW berkata kepadanya : “Apakah hanya ini engkau menangis?” Thauban mengatakan : “Tidak, wahai Rasulullah, akan tetapi aku teringat tempatmu di syurga sedangkan aku membayangkan tempatku amatlah mengerikan.” Maka Nabi SAW berkata:  “Wahai Thauban, orang itu akan dikumpulkan bersama orang yang dicintainya.”

Begitu juga jawapan Anas bin Malik terhadap pertanyaan Fatimah setelah beliau selesai mengebumikan jasad Nabi yang mulia bahawa beliau seolah-olah hilang ingatan ketika menguruskan jenazah baginda di mana jika beliau berada dalam keadaan sedar nescaya beliau tidak akan sanggup menanam jasad nabi dengan tangannya.

Terdapat juga sahabat yang meminta agar matanya dibutakan supaya pandangannya yang terakhir di dunia ini ialah wajah nabi kerana itulah pandangan yang begitu besar nikmatnya berbanding nikmat Allah yang lain.

Semoga sambutan Maulidurrasul ini semakin menyemarakkan lagi rasa kasih dan cinta kita kepada Rasulullah SAW seterusnya membangkitkan semangat untuk melaksanakan sunnah baginda ketika ramai yang membencinya kerana dijanjikan dengan pahala seratus orang mati syahid.

Kunjungan ke agensi ini – Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) pada pagi jumaat 18hb Februari lalu untuk menyampaikan ceramah sempena Maulidur Rasul SAW. Sebenarnya seawal 2-3 minggu sebelum itu pihak urusetia sudah memaklumkan undangan mereka. Saya juga turut teruja dengan undangan ini memandangkan ini kali pertama saya ke sana.

MTIB adalah sebuah badan berkanun yang di bawah Kementerian Perusahaan Utama di bawah Akta Parlimen 1973 dengan misi ‘untuk memantapkan lagi pertumbuhan industri perkayuan secara mapan melalui pewujudan persekitaran yang kondusif dan perkhidmatan berkualiti yang berterusan’. Di Kota Kinabalu, pejabatnya terletak di kawasan Taman Perindustrian Kota Kinabalu, berhadapan dengan pejabat SIRIM Sabah.

Menerusi ceramah sejam setengah di sini, saya mulakan dengan ayat 107 dari surah al-Anbiya : ‘Tidaklah Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam’. Peristiwa-peristiwa yang berlaku sejak kelahiran baginda SAW termasuk pembebasan Thuwaibah daripada hamba kepada Abu Lahab juga merupakan salah satu rahmat kepada Thuwaibah sendiri kerana memberitahu khabar gembira kelahiran Nabi kepada Abu Lahab.

Maka kepada kita umat Islam pada hari ini wajar merenung, jika tiada Rasulullah SAW membawa risalah agama Allah SWT ini, apakah agaknya agama kita pada masa ini? Siapakah yang kita sembah dan apakah pegangan hidup kita? Alhamdulillah, kita telah diberikan nikmat iman dan islam. Justeru janganlah kita mensia-siakan nikmat ni bahkan terus menerus mendalami Islam dengan cara belajar dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Istiqamahnya kita dalam beramal untuk Islam menunjukkan tanda kasih kita kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Terima kasih kepada seluruh warga MTIB terutama Pengarah Wilayah MTIB Sabah Encik Mazree Iman dan urusetia yang mengatur sejak awal untuk menjayakan majlis ini. Insya Allah bertemu lagi.

%d bloggers like this: