Archive for 20 Februari 2011


Pada 16 Februari lalu saya ke Balai Polis Kota Kinabalu atas urusan membayar saman trafik. Berikutan cukai jalan yang sudah tamat tempoh mewajibkan agar saman trafik dijelaskan terlebih dahulu. Bukan urusan itu yang hendak saya ceritakan di sini tetapi saya merasakan keperluan untuk memikirkan semula agar infrastruktur atau prasarana di dalamnya diperbaiki atau dibina bangunan baru di kawasan lebih bersesuaian.

Bagi yang berkunjung atas apa jua urusan terutama saman, perkara pertama ialah kesusahan mendapatkan letak kereta yang sangat terbatas. Urusan yang saya selesaikan untuk membayar saman tidaklah terlalu lama hanya sekitar 5-10 minit bergantung kuantiti pelanggan yang datang tetapi mencari kawasan letak kereta saja boleh mengalahkan waktu urusan membayar saman.

Saya yakini walaupun tidak mengetahui sejarahnya, berdasarkan bentuk fizikalnya jelas ia merupakan bangunan lama yang utuh dan kelihatan gagah. Namun begitu kelihatan juga beberapa siling yang berbekas akibat bocor di atapnya. Atap yang menaungi papan tanda bertulis ‘Cawangan Trafik Daerah Kota Kinabalu’ juga sudah kelihatan usang. Saya rasakan keadaan itu mesti diperbaiki lantaran bangunan Cawangan Trafik menjadi lokasi ‘kunjungan terpaksa’ orang ramai.

Walaupun saya TERPAKSA membayar RM180 setelah diskaun untuk dua saman yang saya terima (walaupun di hati tetap terkilan dan membantah kerana beberapa sebab), layanan baik dan mesra pegawai bertugas di cawangan trafik tetap saya hargai. Kasihan pula kalau mereka yang menjadi sasaran kemarahan. Saya simpan dulu marah itu sehingga hari mengundi nanti…

p/s saya dengar kawan saya ada 36 saman trafik. Ntah dia mau bayar atau tidak..

Ini jadual pertama yang saya terima untuk ceramah Maulidur Rasul tahun di Surau Flat Persekutuan km5 berdekatan dengan Kompleks Sukan Likas. Sebenarnya surau ini tidaklah terlalu asing bagi saya kerana pernah mengisi program tazkirah sebelum ini. Hanya barangkali ketika itu blog ini belum wujud dan tiada cerita berkenaan surau ini. Begitu juga dewan serbaguna yang ada di dalam kawasan flat ini pernah saya datangi untuk memberi ceramah pada akhir tahun lalu.

Program sambutan mereka di sini dimulakan dengan perarakan kecil-kecilan mengelilingi kawasan flat ini selepas solat maghrib sementara ceramah maulid diadakan selepas solat isyak. Saya memberi tumpuan ceramah di sini dengan mengajak hadirin sebagai umat Nabi Muhammad SAW agar merenung suatu persoalan, adakah benar kita sayang dan cinta kepada baginda SAW?

Adakah kita mempelajari sirah baginda? Adakah kita mengikuti ajaran dan mempertahankan Rasulullah SAW? Adakah kita termasuk orang yang memuliakan baginda, keluarga dan para sahabatnya? Adakah kita menyebarluaskan sunnah-sunnah baginda kepada orang lain? Berapa banyak solawat kita kepada baginda setiap hari dan ketika? Persoalan-persoalan ini sedikit sebanyak boleh membayangkan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW.

Undangan ceramah saya terima daripada Sdr Abdul Latif Muluk, antara aktivis di sini. Beliau juga adalah pengerusi JK Pemulihan Dadah Kota Kinabalu yang saya juga adalah AJKnya. Saya difahamkan beberapa bekas penagih dadah turut dibawa oleh penganjur untuk sama-sama hadir di sini. Kesempatan program di sini juga saya ambil dengan membawa 3 beradik Maslina, Masri dan Zuraidah – Maslina dan Masri menuntut di Mesir yang kini sedang berada di Sabah, mengisi kekosongan masa mereka bercuti di tanahair.

Alhamdulillah, program selesai sekitar 10 malam dan saya juga dapat bertemu dengan beberapa orang pembaca @ pelayar blog Abu Nuha Corner di surau ini. Terima kasih atas sokongan semua.

%d bloggers like this: