Archive for 19 Februari 2011


ENAM EKOR KE KLINIK

Rupa-rupanya, cerita-cerita tentang arnab yang kami pelihara ada juga peminatnya. Saya pernah catatkan dulu, melihat, menjenguk dan memberi makan minum arnab-arnab ini menjadi ruang saya berehat dan menenangkan diri. Segar mata melihat 17 ekor yang ada kini semakin membesar dan ada yang beranak pula.

Minggu ini kebetulan saya bercuti 3 hari menyambung cuti maulidur Rasul dan ruang itu antaranya selain memenuhi undangan tazkirah maulid di banyak lokasi, juga saya isi dengan membawa enam daripada 17 ekor arnab ke klinik. Sudah beberapa hari sebelumnya saya lihat telinga mereka terkopak terkena kutu.

Dua kali ke klinik haiwan di Sabah Animal Medical Centre di Luyang dalam tempoh 3 hari, dengan seekor arnab dikenakan bayaran RM10 sahaja untuk ditimbang dan disuntik. Di sini, haiwan yang biasa dibawa untuk dirawat ialah kucing dan anjing. Tempohari ada seeorang makcik yang membawa tiga ekor arnabnya untuk diperiksa dan salahsatunya mengalami sakit kulit yang terkupas. Selain itu, saya tidak pernah bertemu orang yang membawa arnab ke sini.

Melihat haiwan kucing dan anjing dibawa untuk rawatan, timbul juga kasihan. Ada kucing yang menderita susah untuk buang air, ada yang cedera akibat kemalangan, ada yang tiada selera makan dan sebagainya. Tidak kurang juga anjing dan kucing yang dibawa untuk pemeriksaan rutin. Saya diberitahu dan ditunjukkan sepasang anjing yang siap dipakaikan baju merah (lihat foto di bawah) yang selalu mengekori tuannya ke Tamu Jalan Gaya saban minggu.

Inilah suasana rutin yang selalu saya lihat apabila berkunjung ke sini. Foto menyusul.

Harga : RM 23.50 / RM 26.50

Penulis : A. Ubaidillah Alias

Penerbit : PTS Litera Sdn Bhd

Sinopsis : Amir Mukhlis seorang mahasiswa yang membesar dalam atmosfera agama yang subur. Hidupnya mula teruji apabila Wardah mengharapkan sebuah keputusan. Lalu Balqis muncul membawa harapan. Akibatnya, salah faham tercetus antara Amir dan teman serumahnya. Dalam kegetiran menjadi mahasiswa tahun akhir, Amir perlu menyelesaikan konflik perasaan dan persahabatan. Kesihatannya turut terjejas. Mampukah Amir membuat keputusan tepat untuk keluar dari kemelut ini?

Ketika membaca novel hasil kreativiti sahabat lama saya ini, adakalanya saya tersenyum dan tersengih sendirian. Sama tetapi berbeza, kerana sama nama tempat belajar tetapi berbeza lokasi. Sebahagian babak dalam cerita ini saya fahami kerana persamaan-persamaan itu walaupun lokasi sebenar penceritaan tidak pernah saya kunjungi.

Ustaz Ubaidillah adalah rakan seperjuangan khususnya ketika kami sama-sama menduduki peperiksaan diploma tahfiz Darul Quran pada tahun 1999. Justeru penceritaan beliau berkenaan Maahad Tahfiz Pulai Condong sangat hidup kerana beliau adalah keluaran institut berkenaan. Justeru itu saya menghayati kisah-kisah berlatar belakangkan Maahad Tahfiz berkenaan kerana saya juga dari institut yang sama tetapi berlainan lokasi iaitu di Kota Kinabalu.

Ketika membaca babak-babak perhubungan telefon antara Amir dan Wardah, saya terbayangkan pondok-pondok telefon di Grace Court Sembulan, dan dua talian telefon di rumah tempat kami tinggal antara tahun 1997-1999. Saya teringatkan rakan-rakan lama, Awang Ibnu, Syem, Amir, Hafidz dan lain-lain. ketika kami sama-sama memulakan Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah. Saya juga teringatkan kawan-kawan sekelas dan junior di SMA Toh Puan Hajah Rahmah yang menjadi usikan dan kenangan bersama.

Begitu juga cerita-cerita berlatarkan Kaherah membuatkan ingatan saya kembali ke ibu negara Mesir itu. Saya tersenyum beliau menulis kedai ‘Sami Foto’ yang selalu menjadi tumpuan pelajar Malaysia ‘mencuci’ foto, terbayangkan rumah Kelantan yang ada restoran di dalamnya dan perjuangan menerbitkan majalah seperti mana saya juga pernah terlibat untuk pelajar Sabah satu ketika dahulu.

Sayangnya saya terlambat membaca novel menarik ini walaupun sudah memilikinya hampir setahun lalu. Tahniah Ustaz Ubai atas kisah yang menarik dan mempunyai pengajaran yang sangat baik. Saya harap novel ini dibaca oleh sahabat-sahabat saya ketika di Maahad dulu, paling tidak untuk mengembalikan nostalgia lama. Anak-anak murid yang ada di Maahad kini pun bagus juga membaca novel ini.

*********

Info Penulis : A. Ubaidillah Alias adalah anak kelahiran negeri Serambi Mekah. Beliau menamatkan hafazan 30 juzuk di Maahad Tahfiz Al-Quran Pulai Chondong. Seterusnya berjaya mendapat ijazah (Hons) dalam jurusan Usuluddin, Universiti Al-Azhar Kaherah. Kini bertugas di Maahad Tahfiz Sains, Tumpat Kelantan sebagai guru Al-Quran dan Akademik. Cerpen beliau pernah tersiar di akhbar dan majalah perdana. Novel grafik pertama beliau yang bertajuk Sekudus Nur Ilahi diterbitkan oleh PTS Millenia Sdn. Bhd.. Buku Warkah Cinta Berbau Syurga adalah buku kedua beliau.

%d bloggers like this: