Sepanjang saya menyertai lajnah penyemakan dan pengesahan teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak tahun 2007, rasanya pertemuan kali ini mengumpulkan genap 35 ahli lajnah sekaligus. Sebelum ini kebiasaannya ada sahaja ahli yang berhalangan seperti bertembung dengan program jabatan masing-masing atau menunaikan umrah, haji dan sebagainya.

Terdapat 25 bahan semakan semuanya membabitkan lebih seribu juzu’, kebanyakannya teks mashaf dan bakinya adalah bahan digital. Slot pertama pada malam sabtu di Hotel Grand Blue Wave Shah Alam dipengerusikan oleh Naib Pengerusi Dato’ Sallehuddin Omar sebelum disambung oleh Ustaz Haji Azhari Othman. Slot-slot berikutnya dipengerusikan oleh Dato’ Sheikh Haji Mohammad Nor Mansur.

Sepanjang pertemuan kali ini juga kami dapat mengemaskini maklumat kerjaya kawan-kawan yang lain. Antaranya kami dimaklumkan pengerusi kami iaitu Dato’ Sheikh Haji Mohammad Nor Mansur sudah pun bersara daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) sejak awal januari lalu. Ustaz Haji Moghni Asrari juga tidak lagi bertugas di Masjid Wilayah Persekutuan dan telah berpindah sebagai Pegawai Tadbir Agama (PTA) di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Dalam slot akhir, mesyuarat bersetuju dan mengamanahkan saya untuk mengendalikan emelgroup untuk ahli-ahli lajnah tashih al-Quran dan juga individu yang berkelayakan bagi membincangkan sebarang perkara berkaitan penjagaan al-Quran dan perkembangan ilmu-ilmu yang berkaitan langsung dengannya, khususnya di Malaysia dan di peringkat antarabangsa. Mesyuarat berakhir tengahari isnin.