Archive for 16 Februari 2011


RESTORAN ZAM-ZAM

Saya diajak keluar sebentar dari bilik mesyuarat di Hotel Grand Blue Wave menuju ke Restoran Zam-Zam di Seksyen 9 Shah Alam oleh sepupu kepada isteri saya abang Ishak Ismail dan isterinya kak Norabian Hamzah. Pertemuan ukhuwah kami lewat petang itu juga menjadi kesempatan saya menyampaikan salam keluarga dan menghadiahkan beberapa buah buku kepada mereka berdua.

Restoran Zam-Zam yang  baru dibuka awal tahun ini khabarnya adalah milik orang Arab Jordan. Kecuali dua pekerja wanita Indonesia, kesemua pekerjanya yang lain adalah berbangsa Arab sama ada dari Mesir, Syria dan lain-lain. Saya perhatikan restoran ini agak besar dan perhiasan gaya arab yang indah sekali.

Dalam kunjungan beberapa restoran dan gerai arab sama ada di Kota Kinabalu atau di Semenanjung, kali ini barulah saya bertemu dengan makanan kegemaran saya dan isteri ketika di Mesir dahulu iaitu ruz bil laban (nasi campur susu) yang selalu kami beli. Nuha masa kecilnya ketika itu juga pernah disuapkan dengan makanan ini.

Kami dilayan oleh seorang pekerja lelaki berasal dari Mesir bernama Syarif. Oleh kerana kami datang pada petang sabtu, sehari selepas tumbangnya presiden Hosni Mubarak, saya jolok juga perasaannya sebagai warga Mesir. Syarif  nampaknya tersenyum dan gembira dengan peristiwa yang berlaku di negaranya.

 

Sepanjang saya menyertai lajnah penyemakan dan pengesahan teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak tahun 2007, rasanya pertemuan kali ini mengumpulkan genap 35 ahli lajnah sekaligus. Sebelum ini kebiasaannya ada sahaja ahli yang berhalangan seperti bertembung dengan program jabatan masing-masing atau menunaikan umrah, haji dan sebagainya.

Terdapat 25 bahan semakan semuanya membabitkan lebih seribu juzu’, kebanyakannya teks mashaf dan bakinya adalah bahan digital. Slot pertama pada malam sabtu di Hotel Grand Blue Wave Shah Alam dipengerusikan oleh Naib Pengerusi Dato’ Sallehuddin Omar sebelum disambung oleh Ustaz Haji Azhari Othman. Slot-slot berikutnya dipengerusikan oleh Dato’ Sheikh Haji Mohammad Nor Mansur.

Sepanjang pertemuan kali ini juga kami dapat mengemaskini maklumat kerjaya kawan-kawan yang lain. Antaranya kami dimaklumkan pengerusi kami iaitu Dato’ Sheikh Haji Mohammad Nor Mansur sudah pun bersara daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) sejak awal januari lalu. Ustaz Haji Moghni Asrari juga tidak lagi bertugas di Masjid Wilayah Persekutuan dan telah berpindah sebagai Pegawai Tadbir Agama (PTA) di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Dalam slot akhir, mesyuarat bersetuju dan mengamanahkan saya untuk mengendalikan emelgroup untuk ahli-ahli lajnah tashih al-Quran dan juga individu yang berkelayakan bagi membincangkan sebarang perkara berkaitan penjagaan al-Quran dan perkembangan ilmu-ilmu yang berkaitan langsung dengannya, khususnya di Malaysia dan di peringkat antarabangsa. Mesyuarat berakhir tengahari isnin.


%d bloggers like this: