Pagi Khamis

Mesyuarat Majlis Tilawah al-Quran Perkhidmatan Awam Peringkat Jabatan Ketua Menteri di Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) dan saya hadir bagi mewakili JHEAINS selaku jabatan dalam JKM dan juga urusetia bagi MTQ Negeri Sabah. Tahun lalu, mesyuarat berkenaan MTQ Jabatan Ketua Menteri juga diadakan di sini.

Yang seronoknya mesyuarat di sini ringkas, padat dan berlangsung tepat pada masanya. Bahkan mesyuarat tempohari dijalankan hampir 10 minit lebih awal memandangkan semua AJK yang diundang sudah hadir di bilik mesyuarat. Selesai pembahagian tugas dan penetapan majlis, kami mengisi sedikit masa untuk jamuan sebelum bersurai.

MTQ Peringkat Jabatan Ketua Menteri ditetapkan pada 31 Mac 2011 (khamis) di Dewan MAKSAK, Likas. Semua jabatan dalam Jabatan Ketua Menteri diminta menghantar nama peserta qari dan qariah sebelum atau pada 20 Mac untuk memudahkan urusetia. Sejujurnya saya mengharapkan penyertaan yang lebih ramai dan berkualiti dari segenap jabatan dalam Jabatan Ketua Menteri kali ini.

Petang Khamis

Mesyuarat kedua Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Kota Kinabalu di Wisma Tun Fuad Stephen Karamunsing membincangkan taqwim bagi tahun 2011. Kehadiran kali ini amat memberangsangkan dan mesyuarat hangat membincangkan program yang dicadangkan oleh biro masing-masing.

Sebagaimana diputuskan dalam mesyuarat pertama sebelum ini saya diamanahkan mengetuai biro agama dan diminta untuk mencadangkan program untuk dilaksanakan kepada bekas-bekas penagih di kawasan Kota Kinabalu dan sekitarnya.

Dalam mesyuarat berkenaan saya membahagikan program keagamaan kepada tiga : program anjuran JKPD tertutup untuk bekas penagih, program anjuran JKPD bersama bekas penagih dan masyarakat awam dan program luar yang disertai oleh bekas penagih seperti kursus-kursus agama di masjid atau surau berdekatan. Beberapa cadangan dikemukakan dan nampaknya mendapat reaksi yang baik daripada seluruh JK.

Mesyuarat juga memutuskan untuk membuat lawatan ke Pusat Pencegahan Narkotik (PUSPEN) Papar pada 26 Februari akan datang bagi melihat sendiri aktiviti pemulihan dilakukan keatas para penagih di sini.