Archive for 14 Februari 2011


ALTERNATIF HARI KEKASIH

Rasanya tahun ini penentangan terhadap sebarang aktiviti berkaitan Hari Kekasih atau Valentine Day lebih terbuka dan meriah. Ia bukan sahaja dirasakan dan disuarakan di mimbar-mimbar masjid, tetapi secara lebih lantang dihebahkan di media baik secara persendirian melalui media maya baru seperti blog dan facebook, juga badan-badan kerajaan, parti politik dan NGO seperti JAKIM, Dewan Pemuda PAS Pusat dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Walaupun ada sedikit kontroversi khususnya berkaitan ceramah Ustazah  Siti Nor Bahayah yang dikritik oleh Pemuda Majlis Gereja Malaysia dan MCA, dari satu sudut ia tetap suatu kempen yang semakin baik berbanding hanya perisytiharan fatwa pada tahun  2005 terhadap satu budaya yang bukan berasal daripada ajaran Islam.

Ketika sembang-sembang saya dengan Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim awal Muharram dahulu, beliau ada menyebutkan tentang salah satu fadhilat atau amalan yang digalakkan ketika menyambut 10 Muharram selain berpuasa ialah meluaskan belanja untuk keluarga pada hari berkenaan. Ia bersandarkan kepada sebuah hadith riwayat al-Baihaqi dan at-Thobrani daripada Abu Said al-Khudriy RA :

من وسع على عياله فى يوم عاشوراء وسع الله عليه فى سنة كلها

Sesiapa yang meluaskan belanja keluarganya pada hari asyura, Allah akan meluaskan untuknya dalam setahun keseluruhannya.

Walaupun ada yang mengomentarinya sebagai hadith dhaif, namun sekurang-kurangnya tetap ada sandaran dan ia merupakan satu amalan yang baik dengan menambah belanja pada hari berkenaan dan memberikan sesuatu yang istimewa kepada isteri dan anak-anak pada hari tersebut. Paling tidak kata Ustaz Muchlish, kita hebahkan 10 Muharram bagi mengganti sambutan hari kekasih yang langsung tiada kaitan dengan umat Islam.

Berkaitan :

Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine’s Day

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine’s Day. Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.

Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Keputusan (English):

The Ruling on Muslims Celebrating Valentine’s Day

Decision:

The 71st Muzakarah (Conference) of the Fatwa Committee of the National Council for Islamic Religious Affairs Malaysia held on 22nd-24th November 2005 has discussed the ruling on Muslims celebrating Valentine’s Day. The Conference decided that the teachings of Islam stress on love and there is no specific day in Islam to celebrate it.

Therefore, The Conference decided that the practice of celebrating Valentine’s Day is not part of Islam. The spirit of the celebration contains elements of Christianity and its practice that is mixed with sinful acts is prohibited and contradicts with Islam.

Keterangan/Hujah:

Sejarah Valentine’s Day tidak ada di dalam Islam.  Amalan, budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam. Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang.

Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat akidah Islam. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.:

من تشبه بقوم فهو منهم

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.” ( Riwayat Abu Daud)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda:

من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو مردود

“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kebanyakan golongan remaja Islam hari meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan- perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.

Pagi Khamis

Mesyuarat Majlis Tilawah al-Quran Perkhidmatan Awam Peringkat Jabatan Ketua Menteri di Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) dan saya hadir bagi mewakili JHEAINS selaku jabatan dalam JKM dan juga urusetia bagi MTQ Negeri Sabah. Tahun lalu, mesyuarat berkenaan MTQ Jabatan Ketua Menteri juga diadakan di sini.

Yang seronoknya mesyuarat di sini ringkas, padat dan berlangsung tepat pada masanya. Bahkan mesyuarat tempohari dijalankan hampir 10 minit lebih awal memandangkan semua AJK yang diundang sudah hadir di bilik mesyuarat. Selesai pembahagian tugas dan penetapan majlis, kami mengisi sedikit masa untuk jamuan sebelum bersurai.

MTQ Peringkat Jabatan Ketua Menteri ditetapkan pada 31 Mac 2011 (khamis) di Dewan MAKSAK, Likas. Semua jabatan dalam Jabatan Ketua Menteri diminta menghantar nama peserta qari dan qariah sebelum atau pada 20 Mac untuk memudahkan urusetia. Sejujurnya saya mengharapkan penyertaan yang lebih ramai dan berkualiti dari segenap jabatan dalam Jabatan Ketua Menteri kali ini.

Petang Khamis

Mesyuarat kedua Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Kota Kinabalu di Wisma Tun Fuad Stephen Karamunsing membincangkan taqwim bagi tahun 2011. Kehadiran kali ini amat memberangsangkan dan mesyuarat hangat membincangkan program yang dicadangkan oleh biro masing-masing.

Sebagaimana diputuskan dalam mesyuarat pertama sebelum ini saya diamanahkan mengetuai biro agama dan diminta untuk mencadangkan program untuk dilaksanakan kepada bekas-bekas penagih di kawasan Kota Kinabalu dan sekitarnya.

Dalam mesyuarat berkenaan saya membahagikan program keagamaan kepada tiga : program anjuran JKPD tertutup untuk bekas penagih, program anjuran JKPD bersama bekas penagih dan masyarakat awam dan program luar yang disertai oleh bekas penagih seperti kursus-kursus agama di masjid atau surau berdekatan. Beberapa cadangan dikemukakan dan nampaknya mendapat reaksi yang baik daripada seluruh JK.

Mesyuarat juga memutuskan untuk membuat lawatan ke Pusat Pencegahan Narkotik (PUSPEN) Papar pada 26 Februari akan datang bagi melihat sendiri aktiviti pemulihan dilakukan keatas para penagih di sini.

%d bloggers like this: