Kami sekeluarga menyertai rombongan kawan-kawan yang lain minggu lalu sempat berziarah ke rumah sahabat kami, Ustaz Mizan Helmy dan isteri Ustazah Hanisah Mansor yang baru mendapat cahayamata ketiga. Puteri ketiga bernama Najihah ini selamat dilahirkan pada 28 Januari lalu di Hospital Likas. Anak pertama dan kedua juga adalah perempuan.
Ustaz Mizan berasal dari Terengganu, sudah berada di Sabah sejak 5 tahun lalu kini bertugas di SMK Limbanak Penampang sementara isteri beliau, juga orang Terengganu bertugas di SMK Tansau Putatan. Alhamdulillah Ustaz Mizan juga termasuk antara tenaga di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral.
Antara yang turut serta ialah Ustaz Mohamad Suaid, Ustaz Abdul Mujib dan Cikgu Hambali bersama keluarga masing-masing. Semoga Najihah menjadi anak yang solehah dan berjaya seperti namanya. Demikian jugalah doa kami buat Ustaz Mizan Helmy sekeluarga…
Ketika zaman belajar dahulu, antara lokasi tempat tinggal saya ialah di Syarie’ Awwal Dirasat, tidak jauh dari bangunan kuliah Universiti al-Azhar cawangan Mansoura tempat isteri saya belajar. Tidak jauh dari blok bangunan tempat tinggal kami itu – barangkali hanya 2 minit berjalan kaki, ada sebuah masjid di tepi jalan yang selalu menjadi tempat saya berjamaah dengan masyarakat di sana.
Zaman saya di Mansoura ialah mulai akhir tahun 2002 sehingga jun 2004. Ia tempoh selepas perkahwinan saya dengan isteri, juga saya berada pada peperiksaan akhir pengajian pada jun 2003, tempoh menimang cahayamata pertama pada ogos 2003 sebelum pulang 10 bulan kemudian. Zaman itu juga berlaku intifadhah Palestin, kesyahidan dua pemimpin utama Hamas Syaikh Ahmad Yasin dan Dr Abdul Aziz Rantisi.
Tempoh itu saya masih di Mesir. Saya pernah melihat dari hujung blok bangunan rumah sewa kami, penduduk sekitar dan jamaah masjid berkenaan selepas solat jumaat mengadakan demonstrasi aman mengecam kebiadaban Zionis Israel membunuh umat Islam di Palestin. Ia tidaklah terlalu besar tetapi rasanya mencapai angka ribu kerana kebanyakan jamaah jumaat di mana-mana masjid biasanya melimpah hingga ke jalan raya.
Saya mesti mengakui bahawa pandangan rakyat dan umat Islam di Mesir terhadap bumi Palestin tidak sama dengan pemerintah mereka. Ketika itu publisiti untuk mengadakan boikot ekonomi terhadap barangan Israel dan Amerika begitu meluas sekali dan meresap ke dalam masyarakat mereka. Risalah-risalah anti Zionis Israel berleluasa masuk ke masjid dan rumah umat Islam.
Pernah saya lihat di beberapa lokasi dinding yang bertulis dalam bahasa Arab : “Yaqtulunanaa bi amwalikum..” ertinya : Mereka (yahudi Israel) membunuh kami (umat Islam di Palestin) dengan harta-harta kamu (wahai umat Islam).. sebagai satu kenyataan bahawa umat Islam sendiri terlibat dalam pembantaian saudara mereka di bumi Palestin. Dilukis dan digambarkan juga dengan sebiji burger berintikan bayi Islam yang menjadi hidangan pelanggan termasuk umat Islam.
Dari hujung bangunan saya melihat beberapa orang berucap dalam himpunan aman itu mengutuk Zionis dan sikap pemerintah mereka sendiri yang masih bekerjasama dengan Yahudi Israel. Tidak semua ucapan mereka yang bersemangat itu saya fahami, tetapi dalam demonstrasi aman itu saya sendiri merasa bersemangat, naik bulu roma saya mendengar ucapan-ucapan mereka yang sedia untuk syahid dan berjuang untuk saudara mereka di Palestin.
Umat Islam di Mesir sudah lama memendam perasaan. Pertubuhan Islam paling berpengaruh di Mesir bahkan di dunia, Ikhwanul Muslimin meski sudah diharamkan sejak tahun 50an masih mendapat tempat di hati umat Islam sehingga kini dan mereka mampu bertahan dan merekrut ahli-ahli mereka sepanjang masa meski dengan kepungan dan halangan yang tidak pernah putus daripada pemerintah negara mereka sendiri.
Sebagai pelajar, kami sering diingatkan agar berhati-hati apabila sesuatu perkara dikaitkan dengan Ikhwanul Muslimin. Sebagai contoh, kami dilarang membaca sebarang buku yang dikaitkan dengan Ikhwanul Muslimin di kawasan terbuka seperti di dalam bas, masjid dan sebagainya walaupun buku-buku seumpama ini ada dijual di banyak maktabah yang berserakan di Mesir. Bahkan menyebut kalimah Ikhwanul Muslimin juga dilarang sama sekali bagi mengelakkan gangguan pihak keselamatan terutama polis cawangan khas (SB).
Namun sebagaimana yang diyakini sebagai umat Islam bahawa cahaya Islam tidak akan pernah padam meski Islam dibenci oleh musuh-musuh-Nya. Islam akan sampai di mana sahaja cahaya matahari akan sampai. Bagaimana diperuk, dipijak dan ditekan sekalipun, Islam tidak akan pupus. Ramai beranggapan bahawa Mesir sebuah negara yang menjalankan pemerintahan berlandaskan Islam walhal sebenarnya tidak.
Meski Mesir adalah bumi para firaun, di sini jugalah bumi para nabi dan ulama. Maka sikap antara firaun dan nabi akan sentiasa berlaku sehingga akhir zaman. Akan ada pemerintah yang jahat dan akan ada mereka yang sentiasa membela Islam walaupun mereka terpaksa dibunuh dan terbunuh.
Suatu hari ketika saya menaiki teksi dari Abbasiyyah menuju ke sebuah lokasi, melalui jalan-jalan yang serba sesak di Kota Kaherah, tiba-tiba saja pemandu memberhentikan kenderaannya dan terus keluar dari keretanya. Dia merokok di tepi jalan sambil melihat suasana sekeliling. Mulanya saya hairan dan apabila saya lihat sama keluar, saya lihat ratusan atau barangkali ribuan kenderaan yang lain turut berhenti dan kebanyakannya keluar. Ada yang sempat singgah ke kedai berdekatan, minum syai dan seumpamanya.
Setelah saya bertanya, rupanya kata pemandu berkenaan, Presiden Hosni Mubarak bakal lalu di satu jalan. Justeru semua simpang yang menuju ke arah jalan yang dilalui oleh Presiden ditutup untuk memberi laluan kepada Presiden dan rombongan. Pasukan tentera pula akan berdiri mengawasi di kiri dan kanan jalan memberi kawalan keselamatan sepenuhnya kepada presiden. Lama saya berfikir rupanya, presiden itu takut juga kepada musuhnya.
Kini, satu fasa revolusi penggulingan Presiden Hosni Mubarak sudah berakhir. Selama 18 hari di Dataran Tahrir (dengan izin Allah jua) mereka berjaya menumbangkan pemerintah yang sudah berkuasa selama 30 tahun. Rakyat Mesir terutama yang cintakan Islam akan terus menanti tindakan seterusnya daripada Majlis Tertinggi Tentera Mesir agar mereka menikmati pemerintahan yang bertunjangkan kepada Islam. Namun keyakinan saya ialah di hujungnya, Islam pasti akan muncul sebagai pemenangnya.