Archive for 10 Februari 2011


HUTAN LIPUR KAWANG

Oleh kerana saya sudah menyimpan kamera di kereta saat kami semua bergambar kenangan seperti yang dirakamkan oleh rakan-rakan lain, maka saya tidak merakamkan detik berkenaan. Maka saya memilih foto ini sebagai foto utama dalam entri ini. Rasanya babak ini, hanya saya yang merakamkannya..

Sengaja saya melambat-lambatkan cerita gumbira kami berehlah, bersantai, berkelah dan berusrah bersama keluarga masing-masing di Hutan Lipur Kawang, Papar pada 3 Februari lalu kerana dua perkara. Pertamanya kerana memberi laluan laporan program ini mengikut versi blog kawan-kawan yang lain; dan kedua saya mendahulukan berita perkembangan terkini di Mesir yang menjadi tumpuan ramai.

Perjalanan ke Hutan Lipur Kawang dari rumah memakan masa sekitar 15-20 minit dan persediaannya banyak diurus oleh Ummu Nuha selaku ahli usrah kaum ibu yang menganjurkan program ini untuk mengeratkan persaudaraan dan persahabatan sesama keluarga. Kami bapak-bapak hanya bawa perut masing-masing. Hehehe..

Sebelum tiba lagi, anak-anak sangat teruja dan bersemangat. Entah apalah agaknya yang dibayangkan kepala otak masing-masing apabila mereka diberitahu program ini. Namun saya pasti semangat mereka hendak berkubang dalam kolam sehingga beberapa jam lamanya. Program ini juga menjadi kesempatan kami sendiri untuk berehat kerana sudah lama berjanji hendak membawa anak-anak bercuti atau berkelah.

Yuran masuk ke lokasi ini sebanyak RM2 sahaja. Beberapa pondok rehat, kolam dan rumah rehat untuk disewa dengan kadar RM250 semalam (tiga bilik) untuk sesiapa yang berminat. Juga terdapat laluan ‘jungle tracking’, kawasan air terjun dan surau. Barangkali sempena cuti tahun baru cina tempohari, ramai pengunjung berkeluarga datang berkelah di sini.

Cuma sayangnya setelah saya bertanya, tiada satu laman web disediakan oleh penganjur untuk orang ramai dari jauh mengetahui keistimewaan lokasi ini. Selain kelemahan itu, hanya satu saja lagi yang membuatkan saya kurang selesa. Anjing terlalu banyak ke hulu hilir dalam kawasan ini sehingga membimbangkan keluarga yang membawa anak-anak kecil.

Oh ya, tidak banyak foto dirakamkan kerana sebahagian masa saya terlelap di sana. Foto anak-anak yang ada rupanya banyak yang agak seksi, dan keberatan saya siarkan kecuali untuk tatapan kami bersama. Namun itu tidak menjejaskan kenangan manis anak-anak kerana keesokannya, Nuha, Hana dan Hadi bertanya sekaligus membuat permohonan : Besok kita pegi kolam lagi …kan ?

Catatan lain boleh diikuti di blog berikut : di sini, di sini dan di sini

 

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid an-Nur Kg Rampayan.

Mesir, sebuah negara Arab  yang memiliki tamadun dunia terawal dalam sejarah. Mesir adalah tempat dakwahnya para Nabi AS seperti Nabi Ibrahim, Nabi Yusuf, Nabi Musa, Nabi Harun dan sebagainya sehingga Mesir dipanggil sebagai Ardhul Anbiya iaitu bumi para Nabi AS. Mesir juga adalah bumi para sahabat yang mengembangkan dakwah Islam terutamanya pada zaman pemerintahan Sayyidina Umar al-Khattab RA apabila baginda mengarahkan seramai 60 orang sahabat membuka kota Mesir pada tahun 20 Hijrah yang diketuai oleh Sayyidina Amru bin al-Ash RA.

Sehingga kini pula Mesir adalah pusat perkembangan ilmu Islam tersohor di dunia yang menempatkan universiti terulung iaitu Universiti al-Azhar yang sudah berusia lebih 1000 tahun, melahirkan jutaan ulama terbilang di seluruh dunia termasuk dari negara kita. Meski begitu, Mesir pernah dikuasai dan ditadbir oleh pemerintah paling zalim di dunia iaitu Firaun Laknatullah alaih. Selain itu dalam sejarah pemerintahan, Mesir juga pernah ditakluk oleh Empayar Rom, Empayar Byzantine yang beragama Kristian, serta kerajaan Islam sehingga pada zaman Turki Uthmaniyyah. Pada zaman moden selepas merdeka, Mesir  mengamalkan pemerintahan sistem raja berpelembagaan.

Sistem pemerintahan beraja berkenaan kemudiannya digulingkan pada tahun 1952 dan Mesir sejak itu diisytiharkan sebagai negara republik yang berketuakan Presiden, bermula dengan Presiden Jamal Abdul Nassir, Presiden Anwar Sadat dan kini Presiden Mohammed Husni Mubarak. Jutaan rakyat Mesir daripada sejumlah hampir 80 juta rakyatnya kini sedang menunjuk perasaan agar presiden dan pemerintah yang zalim ini turun takhta dan memberi peluang kepada pemerintah yang baru untuk memimpin negara berkenaan.

Apa yang lebih penting ialah setiap keruntuhan jahiliah mestilah diganti dengan Islam bukannya sekadar menukar kepada jahiliah yang baru. Begitulah sunnatullah yang berlaku sehingga hari ini di mana pemimpin yang zalim dan menindas rakyat dengan cara yang hampir sama iaitu membina kekayaan untuk keluarga atas penderitaan rakyat jelata, mengekalkan kuasa dengan penipuan termasuk pilihan raya yang menyebabkan mereka dijatuhkan dengan cara hina melalui kebangkitan rakyat di jalan raya.

Kita berdoa kepada Allah agar umat Islam di seluruh dunia termasuk di Mesir serta menukar pemimpin dan corak pemerintahan kepada Islam bukannya terus menjadi boneka kepada Amerika dan Yahudi Israel. Semoga kebangkitan ini memberi sinar kepada Islam dalam menghentikan keganasan dan penindasan termasuk petanda awal kejatuhan penjenayah dunia Amerika dan Yahudi Israel serta sekutu jahat musuh Islam yang lain.

Allah telah menjanjikan kepimpinan dan pemerintahan kepada hambanya yang soleh bagi memastikan keamanan dunia yang diurus berasaskan agama.  Kejadian di Mesir ini dan di tempat-tempat yang lain di seluruh dunia sebelum ini sepatutnya menjadi pengajaran yang besar kepada mereka yang bergelar pemerintah dan pemimpin. Bahawa kuasa adalah satu amanah untuk berbuat kebaikan kepada mereka yang diperintah, bukannya suatu kesempatan mengaut keuntungan harta, pangkat, jawatan, projek dan sebagainya.

%d bloggers like this: