Pada tahun 2009, saya pernah membuat satu entri berkenaan aktiviti mandi buang sial dalam bulan safar yang cukup meriah di persisiran pantai Tanjung Lipat, Likas dan sempat bertemu ramah dengan beberapa individu berkenaan aktiviti mereka ini. Mereka nampaknya begitu suka sekali ditemuramah dan dirakam foto aktiviti mereka.

Kali ini pada rabu lalu saya singgah pula di pantai Tanjung Aru untuk membuat sedikit liputan tentang aktiviti ini. Saya diingatkan oleh rakan sepejabat dengan aktiviti ini di Likas namun oleh kerana kekangan masa, saya saksikan sebentar di pantai Tanjung Aru dan mendapatkan sedikit pendapat terhadap mereka yang menyertai aktiviti ini. Di sini, kebanyakan yang hadir adalah daripada kawasan Putatan, Petagas, Kinarut dan sekitarnya, tidaklah begitu ramai berbanding di kawasan Teluk Likas yang kelihatan seperti sebuah pesta mandi manda.

Saya menyapa salah seorang peserta yang menyertai upacara berkenaan, Faisal  berasal dari Semporna dan kini menetap di Petagas. Dipanggilnya saya ustaz, kerana katanya pernah melihat saya menyampaikan khutbah di Masjid Kg Muhibbah pada jumaat sebelumnya. Hasil sembang santai kami, Faisal menceritakan sikapnya sebagai orang muda yang tidak meyakini aktiviti buang sial tetapi hanya hadir untuk menjaga hati keluarga dan bermandi manda.

“Saya hanya percaya kuasa Allah”, kata Faisal. Faisal 30 tahun yang sudah berkeluarga dan mempunyai 6 anak ini turut mengakui mempunyai susur galur keluarga dari Zamboanga yang masih mengamalkan adat seumpama ini di sana. Sementara Imran dan isterinya yang ditemui juga memberitahu bahawa kebanyakan mereka yang mempunyai pertalian dengan Filipina (walaupun muslim) akan melakukan aktiviti ini, meski mereka sendiri lahir, bersekolah dan membesar di Lahad Datu.

Di satu sudut, saya melihat sekelompok keluarga sedang membaca yasin dipimpin oleh seseorang yang mereka panggil sebagai imam (bukan imam masjid atau imam JHEAINS). Tidak lama saya lihat pak imam tadi (berumur 70 tahun) bergerak ke pantai sambil berseluar pendek untuk memimpin upacara mandi sekumpulan 12-15 orang termasuk lelaki, perempuan dan kanak-kanak.

Beberapa simbahan air dilakukan oleh pak imam sebelum kesemua mereka membaling batu ke tengah lautan sebagai simbolik membuang sial jauh-jauh daripada kehidupan mereka untuk tahun ini. Apa yang dapat disaksikan, upacara khusus ini hanya mengambil masa kurang lima minit sahaja dan selebihnya mereka mandi manda biasa, makan-makan dan bermain. Dimaklumi bahawa aktiviti ini dilakukan pada hari rabu dalam bulan safar sahaja dan kemuncaknya pada rabu yang terakhir.

Di pantai, saya bertemu dengan sekumpulan siswi Universiti Sains Malaysia (USM) yang sedang bercuti di Kota Kinabalu. Lima remaja yang sedang bersiar di persisiran pantai ini saya sapa, bertanya mereka tentang pengetahuan mereka berkenaan aktiviti orang ramai di pantai pada hari tersebut. Walaubagaimanapun mereka tidak mengetahui upacara ini, justeru melihat aktiviti di hadapan mereka menjadi suatu pengalaman peribadi yang menarik.

TIMBANG ANAK

Walaupun aktiviti mandi buang sial di kalangan penduduk tempatan semakin berkurangan dengan adanya generasi baru, pendidikan Islam yang sampai kepada mereka dan seumpamanya, saya juga mendapat maklum masih terdapat aktiviti lain di kampung-kampung tertentu dengan cara menimbang anak.

Anak-anak yang lahir pada bulan muharram dan safar, akan ditimbang  – sebelah bayi manakala sebelah lagi dengan buah-buahan seperti kelapa, jagung, ubi dan sebagainya. Malahan ada maklumat yang saya perolehi aktiviti ini dilakukan kepada anak-anak muda yang belum pernah ditimbang pada zaman kecilnya dan acara ini dilakukan  pada bila-bila masa walaupun bukan pada bulan safar dengan tujuan membuang atau mengurangkan nahas jika berlaku apa-apa musibah yang berlaku pada masa depan.

Khulasah saya :

1) Kebanyakan mereka yang hadir tidak mengetahui adat atau upacara buang sial ini bertentangan dengan Islam. Justeru, jika mereka ditemubual atau aktiviti mereka dirakam, mereka tidak mempunyai sebarang masalah kerana bagi mereka ini hanyalah adat yang mereka teruskan daripada nenek moyang mereka.

2) Usaha dakwah oleh pelbagai pihak mesti diteruskan. Apa yang saya lihat secara kasar beberapa tahun kebelakangan, aktiviti mandi buang sial di pantai disertai oleh mereka yang berasal dari Filipina, berpendidikan rendah dan kurang terdedah dengan maklumat semasa. Justeru, kempen penerangan wajib dipelbagaikan seperti ceramah di sekolah-sekolah sasaran, surau di kawasan penempatan mereka dan sebagainya.

3) Pihak berkuasa agama seperti Pejabat Mufti atau JHEAINS boleh mengeluarkan kenyataan media melarang umat Islam terlibat dengan aktiviti seumpama ini. Aktiviti ceramah, khutbah, poster, sepanduk dan sebagainya melibatkan pelbagai pihak seperti PBT, NGO Islam dan individu perlu digiatkan. Kalau ceramah kelompok di penempatan mereka dengan dialek mereka pun satu pendekatan yang baik.

Pak Imam berumur 70 tahun, seksi berseluar pendek sebelum memandikan peserta.