Tengahari ahad, saya mengisi slot terakhir dalam program ibadah bersama 50 remaja & belia Kg Bangka-Bangka yang bertempat di Permai D Valley, Kg Ratau. Program dua hari satu malam itu mendapat sambutan remaja kampung berkenaan dengan pelbagai pengisian seperti ceramah, solat berjamaah selain aktiviti santai seperti riadhah dan memancing.

Program berkenaan bermula dengan pendaftaran peserta pada pagi sabtu. Kemeriahan program berkenaan terserlah apabila pada sebahagian slot turut dihadiri oleh orang kampung termasuk ibu bapa yang meluangkan masa bersama-sama hadir memberi sokongan kepada anak masing-masing.

Sementara saya yang diamanahkan untuk slot terakhir menyampaikan ceramah sekitar 45 minit berkenaan pergerakan dalam solat melalui tayangan powerpoint.  Tahniah kepada penganjur yang mengadakan program ini, mudah-mudahan dapat dilanjutkan pada masa-masa akan datang dengan slot-slot yang islamik dan lebih menarik jiwa remaja untuk menghayati Islam sebagai satu cara hidup.

Beberapa bulan tidak ke resort ini, nampaknya semakin indah dan dilengkapi dengan rumah-rumah tumpangan, dewan terbuka dan surau yang boleh memuatkan sekitar 60-70 orang pada satu-satu masa. Sebuah dewan tertutup  pula dijangka siap dalam masa terdekat untuk kemudahan mereka yang menggunakannya. Oh ya, ada dua ekor kuda di sini sedia untuk ditunggangi.