Sesi scan dan rawat disertai kebanyakan peserta. Malah ada yang sebelum kursus ini berlangsung ramai yang menghubungi secara peribadi bertanya sesi ini, kerana kata mereka hendak membawa ahli keluarga mereka untuk dirawat. Manakala yang agak segan sekadar meminta nombor telefon ustaz untuk temujanji lain di Surau SMKA KK, lokasi biasa ustaz melakukan rawatan.

Sesi berkenaan yang dikendalikan oleh Ustaz Nik Anwar juga dibantu oleh Ustaz Baharuddin Daud, sahabat seusrah saya yang sering mengikuti Ustaz Nik dalam sesi-sesi rawatan. Menurut pemerhatian, tiada kes yang agak teruk dalam sesi rawatan ini kecuali dua orang – seorang lelaki dan seorang perempuan – yang nampaknya perlu sesi lain untuk rawatan lanjut. Beberapa jamaah tetap masjid termasuk imam – Imam Amiruddin Amir, Tuan Haji Rauzan, Cikgu Zainal Yusuf, Amran Aliamat dan lain-lain turut di’scan’ sama.

Saya dimaklumkan sebanyak 150 helai borang untuk penyertaan kelas mingguan perubatan Islam yang bermula pada 13 Februari nanti laris dan sudah 100 borang dikembalikan. Mudah-mudahan kelas ini kelak berjaya melahirkan muallij (perawat) yang akan membantu menangani masalah gangguan makhluk halus dan sihir yang berlaku di dalam masyarakat.