Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid al-Mahabbah, Kg Muhibbah Petagas

“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga kemahuan atau kecenderungannya tunduk dan ikut terhadap apa yang aku bawa”. (Hadith Rasulullah SAW)

Selalu terjadi dalam hidup, kita diganggu, dihalang atau diuji oleh bisikan hawa nafsu sehingga berlaku pertentangan antara perintah agama dan hawa nafsu manusia. Perintah Allah dan Rasulullah SAW dilanggar, ditinggalkan, ditolak, dikemudiankan atau ditangguhkan gara-gara pengaruh hawa nafsu dan keinginan hati yang bertentangan dengan agama. Jelas menurut agama, mengikut al-Quran dan hadith Rasulullah SAW adalah dasar tuntutan iman.

Menurut Imam an-Nawawi, seseorang wajib menyesuaikan amalan-amalannya menurut al-Quran dan Hadith. Zaman moden mesti disesuaikan dengan islam, bukan Islam disesuaikan dengan kemodenan. Teknologi mesti mengikut Islam, bukan Islam yang mengikut teknologi. Fesyen mestilah mengikut Islam, bukan Islam yang mengikut fesyen. Bahasa mudahnya, zaman mestilah mengikut Islam, bukan Islam yang mengikut zaman.

Memang sukar melawan hawa nafsu mengikut petunjuk Rasulullah SAW, apatah lagi nafsu yang membawa kepada kemungkaran, kemaksiatan dan dosa. Tetapi bagi seseorang yang beriman, dia wajib untuk berusaha menunjukkan keimanan dan kecintaan terhadap Allah dan Rasulullah SAW, wajib menundukkan kemahuannya untuk menerima perintah agama.

Nafsu yang jahat memang suka untuk mendengar lagu berbanding mendengar al-Quran. Nafsu lebih suka untuk duduk di rumah berbanding iktikaf di masjid. Nafsu lebih suka melepak di kedai kopi berbanding hadir ke majlis ilmu. Nafsu suka menonton rancangan yang membawa kepada dosa berbanding menonton rancangan yang membawa kepada pahala.

Namun apabila hati rindu kepada masjid dan rumah Allah apatah lagi setelah mendengar azan solat fardhu, suka mendengar kalamullah dan untaian hadith Rasulullah SAW, suka berada di majlis yang baik bersama orang soleh, inilah dia tanda cinta yang sejati yang bertalian dengan iman semesti didahulukan berbanding yang lain. Jika tidak, maka cinta itu adalah palsu dan dusta.

Hati yang baik suka untuk berbuat kebaikan seperti mudah untuk membantu orang lain, berlaku adil kepada orang yang dipimpinnya, menghormati dan menegur kesilapan orang atas dasar kasih sayang dan sebagainya.