Tazkirah hari ini bersama warga Jabatan Penyiaran di RTM dirancang  lama namun pengesahan kehadiran saya kurang 12 jam kerana mengganti Ustaz Mohd Syahir Ismail yang berhalangan dan meminta saya menggantikannya. Silap saya pula tidak bertanya tajuk yang diminta kepadanya. Selain itu, kelam kabut juga kerana saya perlu bersiap sedia untuk menyediakan khutbah jumaat menjelang tengahari.

Kami bermula pada jam 8.30 pagi dengan solat dhuha dan solat hajat di surau berkenaan, suatu amalan yang patut diluaskan walaupun hanya sesekali. Ketika melalui surau mereka itulah baru saya menyedari tajuk berkenaan Rasulullah SAW yang diminta untuk disampaikan kepada audien sedangkan mood saya bersedia untuk bercerita hal lain. Mujur juga tajuk demikian biasa disampaikan khususnya menjelang bulan kelahiran Rasulullah SAW.

Tazkirah sekitar 45 minit saya isikan dengan beberapa perkara yang perlu dilakukan oleh umat Islam sebagai tanda mencintai Rasulullah SAW. Bukan saja berkait dengan batang tubuh Rasulullah SAW bahkan juga mengasihi para sahabat baginda dan alim ulama sama ada yang telah pergi mahupun mereka yang masih hidup pada zaman ini. Umat Islam mesti menunjukkan kecintaan kepadanya dengan terus menerus mempelajari Islam seterusnya mengaplikasi dalam kehidupan.