Barangkali ia suatu cerita remeh bagi sesetengah orang. Tetapi bagi mereka yang baru mendapat nikmat mempelajari asas al-Quran melalui kaedah iqra’ dengan enam buku atau enam siri itu satu demi satu, dan kemudiannya menyelesaikan buku berkenaan, ia suatu nikmat yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Saya mengajar al-Quran dan iqra’ di banyak tempat dan lokasi. Untuk cerita ini biar saya rahsiakan lokasi dan orangnya. Kakak ini baru berumur sekitar akhir 30an. Permulaan iqra’ satu beberapa bulan lalu, beliau saya rasakan agak lembab dan perlahan. Kasihan juga saya melihat kawan-kawannya yang lain menanti pusingan seterusnya kerana untuk menamatkan satu muka surat agak lama.

Itu di permulaan. Saya merasakan beliau melakukan tempoh bertenang pada satu ketika. Membuat koreksi dan muhasabah diri. Rajin bertanya kepada kawan-kawan yang mendahuluinya sebelum ini supaya apabila berhadapan dengan saya, beliau lebih lancar membacanya muka demi muka. Saya rasa beliau berjaya dengan kaedah itu.

Dalam beberapa tempoh kebelakangan, bacaan beliau agak lancar kecuali sedikit melakukan kesilapan biasa. Sebelum khatam iqra’ saya terserempak beliau membeli al-Quran sebagai persediaan untuk proses tilawah berikutnya nanti. Saya dimaklumkan oleh rakan-rakannya, sepanjang minggu ini beliau berada dalam gembira yang amat sangat di pejabat.

Nikmat khatam iqra, daripada tidak tahu membaca kepada boleh membaca al-Quran apatah lagi beliau seorang dewasa yang merasakan ketinggalan dalam soal agama, itu sudah tentu merupakan suatu nikmat daripada Allah SWT kepada hamba-Nya. Saya berharap beliau terus konsisten untuk mempelajarinya.