Archive for 27 Januari 2011


EMPAT YANG TERPILIH

“Sesungguhnya Allah memilih Nabi Adam, Nabi Nuh, keluarga Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing). (Mereka berkembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang sebahagiannya berasal dari sebahagian yang lain dan (ingatlah), Allah sentiasa Maha Mendengar lagi sentiasa Maha Mengetahui” (Ali Imran : 33-34)

1) Allah SWT memilih Adam AS sebagai bapa manusia. Baginda dijadikan dengan kuasa Allah secara langsung dan ditiupkan ruh ciptaan-Nya. Para malaikat bersujud kepada Adam dan Allah mengajarnya nama-nama segala benda serta kegunaannya. Adam ditempatkan di syurga, kemudian diturunkan ke bumi kerana beberapa hikmah.

2) Allah SWT memilih Nuh AS sebagai bapa manusia yang kedua. Ketika kaumnya menyembah berhala, Allah SWT membalas mereka dengan azab berupa taufan dan banjir besar yang menenggelamkan mereka. Golongan beriman yang bersama Nabi Nuh diselamatkan di dalam bahtera besar. Zuriat Nuh juga terdiri daripada nabi-nabi dan rasul-rasul.

3) Allah SWT memilih Nabi Ibrahim dan keluarganya iaitu Nabi Ismail, Nabi Ishak, Nabi Ya’qub, Nabi Yusuf dan al-Asbat (keturunan Ya’qub AS). Melalui susur galur Nabi Ismail beberapa generasi Nabi daripada kalangan bangsa Arab sehingga kepada Nabi Muhammad SAW, penghulu dan penyudah para nabi.

4) Allah SWT memilih keluarga Imran iaitu Nabi Isa AS, ibunya Maryam binti Imran yang nasab kedua-dua mereka bersambung sampai  kepada Nabi Ya’qub AS. Imran yang dimaksudkan di sini ialah ayah kepada Maryam yang merupakan ibu kepada Nabi Isa AS iaitu Imran bin Yashim bin Misya bin Hizqiya bin Ibrahim. Nasabnya sampai kepada Nabi Sulaiman bin Daud yang juga merupakan keturunan Nabi Ibrahim AS.

*Nota kuliah maghrib Surau Taman Austral 26 Januari 2011.

“Dan demi sesungguhnya Kami telah mengutus para rasul pada tiap-tiap umat (yang menyerukan), ‘Beribadahlah kepada Allah (saja) dan jauhilah thaghut…”

Rasul adalah manusia yang dipilih oleh Allah SWT untuk menerima wahyu dan diperintahkan untuk menyampaikan kepada umatnya. Kebahagiaan dan kemenangan hidup orang beriman di dunia sehingga ke akhirat hanya diperolehi apabila manusia mengimani, mengasihi dan meneladani cara hidup mereka setulusnya kerana Allah SWT.

Maha Pengasih dan Penyayangnya Allah SWT yang mengutuskan para Rasul untuk membimbing, memberi khabar gembira kepada orang beriman,  memberi peringatan yang ingkar, menunjukkan jalan kebenaran untuk diikuti dan menunjukkan jalan kesesatan untuk dijauhi, serta dalam masa yang sama menunjukkan contoh terbaik kepada umat masing-masing.

Justeru, orang beriman mesti mengambil sikap sekurang-kurangnya terhadap lima perkara berikut bagi membuktikan keimanan dan kasih sayang terhadap Rasulullah SAW :

1) Beriman bahawa Muhammad SAW adalah utusan Allah, yang diutus kepada seluruh umat manusia, sebagai pemberi peringatan dan khabar gembira, sebagai penyeru ke jalan Allah dengan pembawa cahaya kebenaran;

2) Menjalankan perintah Baginda dan menjauhi larangannya;

3) Memperjuangkan sunnahnya, mengamalkan dan menyebarkan;

4) Memperbanyakkan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW;

5) Mencintai sahabat dan kaum kerabat Baginda dan membela mereka dan mengkaji perjalanan hidup dan sirah Baginda SAW.

%d bloggers like this: