Archive for 26 Januari 2011


WAHAI PRESIDEN HOSNI MUBARAK..

Menanti saat-saat kejatuhan dan tumbangnya Presiden Mohammad Hosni Mubarak di Mesir, saya teringatkan video klip yang merakamkan kata-kata nasihat oleh seorang ulama terkemuka di Mesir, almarhum Syaikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi (foto) di hadapan Presiden Mubarak satu ketika dahulu.

Syaikh Sya’rawi memang seorang ulama’ yang ikhlas, berkata benar walaupun di hadapan Presiden negaranya. Meskipun beliau sudah kembali kerahmatullah 15 tahun lalu, rakaman kuliah tafsirnya yang hebat dan menyentuh hati itu masih ditayangkan di tv Mesir. Poster-poster gambarnya masih bergantung di rumah umat Islam menandakan beliau sememangnya diterima dan dikasihi umat Islam khususnya di Mesir. Kitab-kitabnya dibaca orang dan diterjemahkan termasuk ke dalam bahasa melayu.

Saya pernah dimaklumkan sejuta umat Islam membanjiri kawasan pengkebumiannya saat beliau dimakamkan di Mit Ghamr ketika pemergiannya. Alhamdulillah ketika belajar dulu, bersama rakan-rakan yang lain, saya sempat menziarahi maqam almarhum Syaikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi yang mulia ini.

Terjemahan :

“Dan sesungguhnya aku (Sheikh Mutawalli Sya’rawi)..

Wahai Tuan Presiden, aku berdiri di sudut ini untuk menerima pahala dari Allah. Aku tidak menghabiskan sisa-sisa hidup aku menjadi munafiq. Aku tidak akan mempamerkan diri aku ini dengan perkara-perkara yang menipu. Tetapi aku ingin memberitahu satu perkara kepada umat semuanya. Sama ada daripada pihak kerajaan atau parti pembangkang ataupun penyokong dan bangsa.

Aku meminta maaf jika aku ucapkan sesuatu yang kamu semua tidak suka. Aku ingin semuanya tahu bahawa kekuasaan itu di tangan Allah. Allah memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Dia suka. Maka janganlah ada komplot untuk mendapatkan kekuasaan itu. Dan janganlah ada tipu helah (penipuan) untuk sampai kepadanya (kekuasaan). Allah Taala telah menceritakan dialog antara Namrud dan Nabi Ibrahim. Apa yang Allah Taala kata?

“..Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya (sedangkan dia dalam kekafiran), kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan (Namrud)…” – (Surah al-Baqarah : 258, al Quranul Karim)

Maka kekuasaan itu, Allah diberi kepada sesiapa yang dia mahu. Maka jangan kamu melakukan tipu helah terhadap Allah. Dan jangan kamu membuat komplot (penipuan) terhadap Allah. Kerana seseorang tidak akan mendapat kekuasaan di dalam kerajaan Allah kecuali dengan kehendak Allah. Kalau dia seorang yang adil, maka manusia akan mendapat manfaat dengan keadilannya. Dan sekiranya dia seorang yang zalim, maka dia menjadi hodoh dengan kezalimannya dan Allah akan menjadikannya buruk di dada-dada manusia.

Maka disebabkan Allah menjadikan dia buruk di dada manusia, rakyat akan membenci setiap orang yang zalim walaupun dia tidak terlintas membenci pemerintah itu. Aku berkata kepada kamu sekalian, Alhamdulillah, telah jelas kebenaran pada kata-kata Tuhan berdasarkan dengan peristiwa-peristiwa yang telah terjadi. Bagaimana kita hendak mentafsirkan kata-kata Allah :

“..Wayamkuruuna wayamkurullah..” (dan mereka merancang perkara yang jahat dan Allah juga turut merancang). Dan bagaimana kita hendak mentafsirkan kata-kata Allah : “..Innahum yakiiduna kaidan wanakiidu kaida..” (Sesungguhnya mereka membuat tipu daya dan Allah membuat tipu daya juga).

Siapa yang terlintas di dalam kepalanya untuk menjadi pemerintah, aku nasihatkan supaya dia jangan meminta-minta. Akan tetapi menjadi kewajipannya menjadi pemerintah ketika mana dia dilantik. Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam;

“..Siapa yang dilantik untuk sesuatu perkara, maka dia akan ditolong oleh Allah. Dan sesiapa yang meminta-minta sesuatu perkara, maka perkara itu akan menjadi beban kepadanya..”.

Wahai Tuan Presiden, aku ingin katakan satu perkara kepada engkau, mungkin ini adalah pertemuan terakhir kita! (Sheikh Mutawalli Sya’rawi memegang bahu presiden Mesir dan berkata) :

“..Jika nasib kami bergantung kepada engkau, moga-moga Allah memberi taufiq (menunjukkan kepada kamu jalan yang benar). Dan jika nasib kamu bergantung kepada kami, moga-moga Allah menolong kamu untuk menanggung beban (untuk menghadapi kami)..”.

*Terjemahannya saya perolehi di blog Ustaz Syed Abdul Kadir al-Jofree

Beberapa video klip berkenaan demonstrasi besar-besaran bermula di Dataran Tahrir, Kaherah Mesir. Demonstrasi berkenaan memaksa agar Presiden Husni Mubarak yang telah memerintah Mesir lebih 30 tahun supaya turun segera. Demontrasi ini juga dikhabarkan merebak ke wilayah-wilayah lain di negara berkenaan.

Rakyat Mesir sememangnya sudah muak dengan pemerintahan diktator Husni Mubarak dan mereka mendapat semangat daripada peristiwa yang telah berlaku di negara Tunisia tempohari. Dijangka jika berjaya menumbangkan Husni Mubarak, demontrasi sama akan melanda di negara-negara arab yang lain.

%d bloggers like this: