Kitab Hadith Syamail Muhammadiyyah SAW susunan Imam at-Tirmizi yang sama-sama kami pelajari di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan kini menghampiri babak-babak akhir. Kami sudah tiba dan menamatkan bab ‘Kehidupan Rasulullah SAW’ yang menceritakan tentang kesederhanaan hidup baginda SAW.

Ada riwayat dan kisah yang mencatatkan bagaimana Rasulullah SAW dan keluarganya hidup dengan bekalan makanan yang tidak pernah mencukupi selama sebulan lamanya, sedangkan kehidupan kita pada hari ini dipenuhi dengan makan minum yang tidak pernah berhenti. Lapar belum hilang, sudah ada sesi makan yang berikutnya.

Nikmat makan minum yang kita perolehi hari ini menunjukkan betapa Allah SWT memberi rezeki yang banyak. Justeru bandingkanlah pula dengan kuantiti dan kualiti ibadah seharian kita sebagai tanda kita bersyukur atas nikmat pemberian Allah SWT yang tidak pernah putus kepada hamba-hamba-Nya.

Menarik sebuah kisah dan salah satu hadith yang tercatat di dalamnya menceritakan pernah betapa laparnya para sahabat baginda SAW mengadu kepada baginda sehingga mereka terpaksa mengikat sebiji batu di perut masing-masing untuk menahan lapar mereka. Junjungan Nabi SAW kemudiannya pula mengangkatkan pakaiannya memperlihatkan perutnya sendiri yang memang turut kelaparan, diikat dengan dua biji batu berbanding sebiji batu di perut sahabatnya yang lain.