Archive for 25 Januari 2011


ADAB TIDUR

Antara yang kami bincangkan dalam program usrah semalam ialah berkenaan  bab tidur anak-anak yang kadang-kadang diambil enteng oleh ibu bapa. Tidur adalah amalan harian yang dilakukan oleh manusia. Sama ada tidur lama atau sebentar tetap mempunyai adab-adabnya.

Misalnya sedari kecil anak-anak diajar berwudhu’ sebelum tidur, perut tidak terlalu kenyang, ditidurkan mengiring ke arah kanan, membaca doa atau ayat-ayat lain yang disunnahkan seperti tiga qul, ayatul kursi dan seumpamanya. Barangkali untuk praktikalnya sebagai ibu bapa boleh berfikiran kreatif bagaimana adab-adab berkenaan diamalkan sedikit demi sedikit.

Bagi anak yang sudah pandai membaca mungkin boleh ditampalkan ayat-ayat tertentu di dinding bilik yang boleh dipandang atau dibacanya beramai-ramai. Jika perlu dipimpin oleh ibu bapa maka itu adalah lebih baik. Begitu juga dalam bab wudhu’ dilatih untuk dibiasakan secara beransur-ansur dan dilakukan bersama-sama walaupun mungkin tidak setiap hari. Mudah-mudahan berjaya.

Kitab Hadith Syamail Muhammadiyyah SAW susunan Imam at-Tirmizi yang sama-sama kami pelajari di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan kini menghampiri babak-babak akhir. Kami sudah tiba dan menamatkan bab ‘Kehidupan Rasulullah SAW’ yang menceritakan tentang kesederhanaan hidup baginda SAW.

Ada riwayat dan kisah yang mencatatkan bagaimana Rasulullah SAW dan keluarganya hidup dengan bekalan makanan yang tidak pernah mencukupi selama sebulan lamanya, sedangkan kehidupan kita pada hari ini dipenuhi dengan makan minum yang tidak pernah berhenti. Lapar belum hilang, sudah ada sesi makan yang berikutnya.

Nikmat makan minum yang kita perolehi hari ini menunjukkan betapa Allah SWT memberi rezeki yang banyak. Justeru bandingkanlah pula dengan kuantiti dan kualiti ibadah seharian kita sebagai tanda kita bersyukur atas nikmat pemberian Allah SWT yang tidak pernah putus kepada hamba-hamba-Nya.

Menarik sebuah kisah dan salah satu hadith yang tercatat di dalamnya menceritakan pernah betapa laparnya para sahabat baginda SAW mengadu kepada baginda sehingga mereka terpaksa mengikat sebiji batu di perut masing-masing untuk menahan lapar mereka. Junjungan Nabi SAW kemudiannya pula mengangkatkan pakaiannya memperlihatkan perutnya sendiri yang memang turut kelaparan, diikat dengan dua biji batu berbanding sebiji batu di perut sahabatnya yang lain.

%d bloggers like this: