Setiap kali menziarahinya, dia sering kelihatan tersenyum. Saya suka benar menziarahi Shilla. Dia pesakit istimewa bagi ramai orang terutama warga Hospital Queen Elizabeth ini. Bagi sesetengah pegawai perubatan hospital sama ada doktor atau jururawat, mereka lebih baru atau junior berbanding Shilla.

Shilla yang dilahirkan pada tahun 1994 bakal berumur 17 tahun pada 20 Februari nanti. Shilla sudah berada di sini sejak 30 Mei 2001 iaitu hampir 10 tahun. Lebih separuh umurnya di sini. Mula-mula diletakkan di wad kanak-kanak ketika dia berumur 7 tahun. Sakitnya bermula apabila bermain dengan sepupunya lalu terhantuk di kepala. Sepupunya itu meninggal dunia sehari kemudian sementara dia dihantar ke Kota Kinabalu dari kampungnya di Pulau Banggi.

Sejak itulah Shilla terlantar di Hospital Queen Elizabeth dan berpindah-pindah wad apatah lagi dia sudah masuk dalam wad perempuan dewasa. Dia tidak boleh lagi berjalan-jalan walaupun disorong di kerusi roda untuk dibawa bersiar-siar. Mujurlah kakaknya yang sering menemaninya di wad ini. Shilla baru pandai membaca dan menulis sedikit demi sedikit. Kerana istimewanya Shilla, dia selalu mendapat hadiah daripada pengunjung seperti anak patung dan ada sebuah tv kecil yang mengubati kesunyiannya.

Kata kakaknya, seorang tua berbangsa tionghua sering menziarahinya dan pada setiap tahun akan membawakannya kek harijadi untuk Shilla. Sesiapa yang ada masa, ziarahilah Shilla untuk mengubati kesunyiannya, apatah lagi untuk mengajarnya mengaji iqra, al-Quran, beribadah dan sebagainya.