Archive for 23 Januari 2011


BIMBANGKAN PEMERINTAH

Daripada Abdullah bin Umar RA katanya, Rasulullah SAW bersabda :

Apabila kamu bimbang atau takut terhadap pemerintah atau lainnya maka bacalah :

“Tiada Tuhan selain Allah Yang Maha Penyantun lagi Maha Bijaksana. Maha Suci Allah Tuhan Pencipta langit yang tujuh dan Tuhan Pencipta arasyh yang agung. Tiada Tuhan kecuali Engkau, mulialah pemeliharaan-Mu dan besarlah pujian terhadap-Mu”

Pada saat ini disunnatkan pula membaca doa yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari RA daripada Nabi SAW :

 

“Ya Allah, sesungguhnya kami jadikan Engkau di leher mereka dan kami berlindung kepada-Mu daripada kejahatan mereka”

Bagi rakyat yang mustad’afin apatah lagi biasa tertindas dan dizalimi, selain kita berikhtiar dengan usaha aduan kepada pemerintah,  atau tidak mengundi mereka dalam pilihanraya, atau adanya revolusi di sesetengah negara lain atau sebagainya, jangan lupa bahkan dahulukan Allah SWT dalam aduan terhadap sebarang permasalahan yang berlaku apatah lagi kejahatan yang dilakukan oleh penguasa.

Tiada kekuasaan dan pemerintahan yang kekal di dunia. Yang kekal hanyalah kerajaan Allah SWT. Dia yang menaikkan sesuatu pemerintahan dan Dia juga berkuasa menjatuhkan sesuatu pemerintahan.

Nota kuliah maghrib di Masjid Nurul Ihsan, Kg Lok Kawi Baru merujuk kitab al-Azkar Imam an-Nawawi.

Nota daripada Naso’ihul Ibad :

“Ada empat perkara yang baik, tetapi ada empat perkara yang lain  lebih baik daripada itu. Sifat pemalu seorang lelaki yang adalah baik, tetapi malunya seorang perempuan adalah lebih baik. Keadilan setiap orang itu adalah baik, tetapi adilnya daripada para pemerintah  adalah lebih baik. Taubat seorang tua adalah baik, tetapi taubat  seorang pemuda itu adalah lebih baik. Dermawan  seorang hartawan adalah baik, tetapi dermawan seorang fakir  adalah lebih baik”.

Perasaan malu adalah suatu sikap yang terpuji jika kena pada tempatnya, namun jika dilakukan oleh kaum wanita adalah lebih baik keran sememangnya wanita dijadikan dalam kelembutan dan memiliki sifat pengasih.

Bersikap adil pula semenangnya dituntut tetapi jika dilakukan oleh pemerintah atau pemimpin adalah lebih baik kerana keadilan mereka akan membawa kesan mendalam kepada kemakmuran masyarakat.  Justeru itu Rasulullah SAW ada menjelaskan bahawa pemimpin yang adil akan mendapat naungan Allah pada hari kiamat.

Taubat menurut Islam adalah wajib keatas seluruh manusia. Orang tua yang bertaubat adalah termasuk orang yang baik, namun jika orang muda yang bertaubat itu sudah tentu lebih baik berbanding ia bertangguh-tangguh menanti hari tuanya sedangkan ketika muda selalu diisi dengan perkara sia-sia dan berpoya-poya.

Dermawan adalah sifat terpuji tanpa mengira siapa mereka. Hartawan yang dermawan selalu dipandang mulia dan menjadi amal yang baik. Namun sifat dermawan ini jika dilakukan oleh orang miskin adalah lebih mulia kerana pada lazimnya orang miskin itu sendiri sentiasa dalam kekurangan dan memerlukan bantuan orang lain.

Ini sebahagian isi tazkirah ringkas saya di Surau Riyadhus Solihin pada malam sabtu lalu, sesudah semua jamaah selesai menunaikan solat isyak berjamaah dan membaca ma’thurat sughra yang dipimpin oleh Ustaz Mohammad Suaid. Alhamdulillah, Surau menganjurkan usrah umum dengan pengisian-pengisian seumpama ini setiap minggu.

Nampaknya jamaah  yang hadir tidak kurang 30-40 orang mulai selesa dan biasa dengan membaca ma’thurat bersama-sama dan diakhiri dengan jamuan yang dibawa bersama-sama.

%d bloggers like this: