Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq diriwayatkan pernah berkata : Berkata benar itu adalah satu amanah, sementara bohong itu adalah satu pengkhianatan.

Memberi tazkirah berkaitan sifat amanah di pejabat Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Sabah saya kira bukan sesuatu yang mudah. Bukanlah kerana tempoh notis yang singkat kurang 24 jam itu, kerana amanah ini tajuk yang berat dan sangat mendasari kehidupan manusia khususnya umat Islam.

Kehidupan kita sebagai hamba Allah tidak terlepas sebagai amanah bahkan memikul amanah itu salah satu tujuan manusia dijadikan. Ibadah yang diperintahkan adalah satu amanah yang mesti dibereskan. Isteri, anak-anak, kerjaya, harta yang diperolehi semuanya adalah amanah yang akan dipersoalkan satu hari nanti.

Jawatan yang dipikul, kepimpinan seorang ketua dalam apa jua peringkat, bahkan dalam menyampaikan ilmu yang bermanfaat serta menegakkan kebenaran juga adalah suatu amanah. Justeru sifat amanah menjadi kewajiban para rasul dan kesempurnaan iman hamba Allah juga terletak salah satunya dengan sifat amanah yang ada pada dirinya.

Maka dengan itu, saya berkongsi sedikit pengetahuan bersama-sama warga Pejabat MARA Negeri Sabah memikul amanah mengisi masa tazkirah yang diberikan. Terima kasih Tuan Haji Kamaruzdzaman Md Ali, Pengarah MARA Negeri Sabah dan warga kerja di sana yang tahan mendengar coleteh saya buat pertama kalinya di pejabat berkenaan. Semoga ada manfaatnya.