Archive for 22 Januari 2011


Khatib : Abu Nuha

Tempat : Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang

“Sesiapa yang membina sebuah masjid kerana Allah SWT, Allah SWT akan membinakan untuknya sebuah mahligai di dalam syurga” (HR Muslim).

Pengimarahan Masjid @ Rumah Allah SWT bukanlah sekadar mengisi ruang untuk hadir solat berjamaah semata-mata. Ia bermula dengan sokongan dan dukungan umat Islam untuk sama-sama mendirikan rumah Allah, apatah lagi di sebuah lokasi yang sangat memerlukan seperti di daerah Penampang yang tidak mempunyai sebuah masjid pun untuk solat Jumaat.

Daerah Penampang adalah jiran kepada Bandaraya Kota Kinabalu. Kepesatan pembangunan, pertambahan penduduk berlaku dengan pantas termasuk membabitkan umat Islam. Penjawat awam, pelajar sekolah, para peniaga adalah antara penyumbang kepada pertambahan penduduk di daerah berkenaan.

Justeru, umat Islam wajar sekali membantu dengan menyumbang wakaf tunai bagi mendirikan sebuah rumah Allah SWT di daerah ini. Jawatankuasa Wakaf Masjid Penampang buat masa ini telahpun mendapatkan sebidang tanah seluas di Jalan Bypass Penampang bernilai kira-kira setengah juta ringgit. Proses pemilikan tanah ini telah dilakukan baru-baru ini. Pemilik asal tanah, seorang saudara baru telah bermurah hati menjual tanah berkenaan dengan harga yang murah berbanding dengan pasaran semasa.

Sistem wakaf adalah sebahagian kaedah yang diajar dalam Islam bagi umat Islam menyumbang dana bagi kepentingan umat secara keseluruhannya. Wakaf diajar oleh Rasulullah SAW dan dipraktikkan oleh para sahabat sehinggalah ke hari ini. Suatu contoh amal sedekah jariah yang sangat berjaya antaranya ialah Universiti al-Azhar di Mesir yang sudah berusia lebih 1000 tahun adalah hasil sumbangan wakaf umat Islam.

“Tiadalah suatu pagi yang berlalu kepada hamba-hamba Allah kecuali ada dua malaikat yang turun dari langit. Malaikat pertama berdoa : Ya Allah, beri ganti berganda-ganda keada orang suka bersedekah. Malaikat kedua pula berdoa : Ya Allah berikan kerugian kepada orang yang tamak dan menahan hartanya daripada bersedekah”

Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq diriwayatkan pernah berkata : Berkata benar itu adalah satu amanah, sementara bohong itu adalah satu pengkhianatan.

Memberi tazkirah berkaitan sifat amanah di pejabat Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Sabah saya kira bukan sesuatu yang mudah. Bukanlah kerana tempoh notis yang singkat kurang 24 jam itu, kerana amanah ini tajuk yang berat dan sangat mendasari kehidupan manusia khususnya umat Islam.

Kehidupan kita sebagai hamba Allah tidak terlepas sebagai amanah bahkan memikul amanah itu salah satu tujuan manusia dijadikan. Ibadah yang diperintahkan adalah satu amanah yang mesti dibereskan. Isteri, anak-anak, kerjaya, harta yang diperolehi semuanya adalah amanah yang akan dipersoalkan satu hari nanti.

Jawatan yang dipikul, kepimpinan seorang ketua dalam apa jua peringkat, bahkan dalam menyampaikan ilmu yang bermanfaat serta menegakkan kebenaran juga adalah suatu amanah. Justeru sifat amanah menjadi kewajiban para rasul dan kesempurnaan iman hamba Allah juga terletak salah satunya dengan sifat amanah yang ada pada dirinya.

Maka dengan itu, saya berkongsi sedikit pengetahuan bersama-sama warga Pejabat MARA Negeri Sabah memikul amanah mengisi masa tazkirah yang diberikan. Terima kasih Tuan Haji Kamaruzdzaman Md Ali, Pengarah MARA Negeri Sabah dan warga kerja di sana yang tahan mendengar coleteh saya buat pertama kalinya di pejabat berkenaan. Semoga ada manfaatnya.

%d bloggers like this: