Saya pernah beberapa kali mengisi slot ceramah di Pusat Pemulihan Penagih Narkotik (PUSPEN) Papar dan sekali di Flat Persekutuan Likas yang dianjurkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Rukun Tetangga (RT) kawasan berkenaan. Namun apabila dipelawa untuk menganggotai JK Pemulihan Dadah (JKPD) Kota Kinabalu, saya awalnya berbelah bagi.

Pertamanya kerana komitmen yang banyak dalam pelbagai program dakwah sama ada syukbah dakwah Masjid Negeri Sabah, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan bermacam aktiviti anjuran pebagai pihak. Keduanya, saya langsung tidak berpengalaman dalam dunia anti dadah melainkan hanya 3-4 kali ceramah di PUSPEN yang tidak berkaitan dengan dadah secara langsung pun.

Namun apabila difikirkan semula, ini adalah ruang untuk menambah pengalaman dan ilmu dakwah, berkongsi sedikit ilmu dengan mereka yang terlibat serta meluaskan persahabatan baru terutama dengan semua JK yang terbabit juga dengan bekas-bekas penagih yang ingin berubah dan kembali ke pangkal jalan.

JKPD sebagaimana yang saya dimaklumkan adalah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang ditubuhkan bagi membantu AADK dalam membasmi gejala najis dadah khususnya berkaitan kebajikan bekas-bekas penagih untuk kembali ke pangkuan masyarakat. Meski JKPD ini di Kota Kinabalu, saya difahamkan aktivitinya meliputi dari Kudat hingga ke Beaufort dan Keningau.

Terima kasih Pengerusi baru JKPD Sdr Abdul Latiff Muluk dari Jabatan Meteorologi Malaysia yang mengundang saya menganggotai JKPD sesi 2011-2012 dan diamanahkan pula mengetuai biro agama. Alhamdulillah atas nikmat dan peluang yang diberikan, semoga ada sedikit kesempatan untuk berbakti dalam JKPD ini bersama kira-kira 30 orang rakan-rakan yang kebanyakannya baru saya kenali. Semoga dimudahkan oleh Allah SWT.

Nota : Mesyuarat berikutnya pada 10 Februari 2011, kami semua diminta untuk membentangkan program dan aktiviti cadangan bagi taqwim tahun 2011. Kalau ada cadangan untuk biro agama, saya mengalu-alukan pandangan.