Archive for 21 Januari 2011


Saya pernah beberapa kali mengisi slot ceramah di Pusat Pemulihan Penagih Narkotik (PUSPEN) Papar dan sekali di Flat Persekutuan Likas yang dianjurkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Rukun Tetangga (RT) kawasan berkenaan. Namun apabila dipelawa untuk menganggotai JK Pemulihan Dadah (JKPD) Kota Kinabalu, saya awalnya berbelah bagi.

Pertamanya kerana komitmen yang banyak dalam pelbagai program dakwah sama ada syukbah dakwah Masjid Negeri Sabah, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan bermacam aktiviti anjuran pebagai pihak. Keduanya, saya langsung tidak berpengalaman dalam dunia anti dadah melainkan hanya 3-4 kali ceramah di PUSPEN yang tidak berkaitan dengan dadah secara langsung pun.

Namun apabila difikirkan semula, ini adalah ruang untuk menambah pengalaman dan ilmu dakwah, berkongsi sedikit ilmu dengan mereka yang terlibat serta meluaskan persahabatan baru terutama dengan semua JK yang terbabit juga dengan bekas-bekas penagih yang ingin berubah dan kembali ke pangkal jalan.

JKPD sebagaimana yang saya dimaklumkan adalah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang ditubuhkan bagi membantu AADK dalam membasmi gejala najis dadah khususnya berkaitan kebajikan bekas-bekas penagih untuk kembali ke pangkuan masyarakat. Meski JKPD ini di Kota Kinabalu, saya difahamkan aktivitinya meliputi dari Kudat hingga ke Beaufort dan Keningau.

Terima kasih Pengerusi baru JKPD Sdr Abdul Latiff Muluk dari Jabatan Meteorologi Malaysia yang mengundang saya menganggotai JKPD sesi 2011-2012 dan diamanahkan pula mengetuai biro agama. Alhamdulillah atas nikmat dan peluang yang diberikan, semoga ada sedikit kesempatan untuk berbakti dalam JKPD ini bersama kira-kira 30 orang rakan-rakan yang kebanyakannya baru saya kenali. Semoga dimudahkan oleh Allah SWT.

Nota : Mesyuarat berikutnya pada 10 Februari 2011, kami semua diminta untuk membentangkan program dan aktiviti cadangan bagi taqwim tahun 2011. Kalau ada cadangan untuk biro agama, saya mengalu-alukan pandangan.

 

Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Ketika  Rasulullah SAW diangkat sebagai Utusan Allah SWT, ia menimbulkan perasaan dengki dan iri hati di kalangan Yahudi. Sebab selama ini beratus-ratus tahun lamanya, risalah kenabian hanya pada Bani Israil sedangkan bangsa Arab hanya berlegar di kalangan kabilah masing-masing sahaja.

Apabila Nabi Muhammad SAW diangkat sebagai Rasul, dasarnya ialah mengajar berkenaan kepercayaan kepada Tuhan tetapi hasilnya ialah suatu kekuasaan dan pemerintahan yang mempunyai asas kebenaran daripada Allah SWT. Namun ada di kalangan mereka yang enggan menerima kenyataan apatah lagi dua kuasa besar ketika itu ialah kerajaan Rum dan Parsi.

Ayat ini  menjelaskan bahawa walau bagaimana besar kekuasaan seseorang raja atau pemimpin di peringkat apa saja, mudah saja bagi Allah SWT mencabutnya.  Tidak selamanya seorang akan menjadi raja dan ketua sepanjang masa. Dalam masa yang sama, seseorang yang tiada nama apa-apa, tiba-tiba naik menjadi seorang pemimpin yang berkuasa walaupun dahulunya dia hanyalah seorang rakyat biasa.

Yang mempunyai kuasa penuh di langit, di bumi serta segala isinya dan apa jua makhluk hanyalah Allah SWT, raja dan pemilik segala kerajaan yang ada di muka bumi ini.

***

Pada 1 Januari 2007, ketika angkat sumpah penggal kedua untuk Tun Ahmadshah sebagai TYT Yang Di-Pertua Negeri Sabah, saya ditugaskan sebagai pembaca doa di penghujung majlis. Lucunya saya tidak bersedia untuk menyampaikan doa sehinggalah kurang sejam majlis hampir bermula. Untaian doa-doa itu hanya saya catatkan dengan tulisan tangan yang kelihatan bercelaru.

Yalah orang kata ini majlis rasmi kerajaan, angkat sumpah TYT di Istana Negeri mestilah persediaan dilakukan dengan rapi. Namun saya hanya menyibuk sebelum majlis bermula. Sambil-sambil meraikan tetamu negeri yang tiba, dalam kesibukan itu juga saya menulis-nulis doa yang bakal dibacakan. Antara doa yang terselit ialah ayat 26 daripada Surah Ali Imran di atas beserta terjemahannya.

Pada isnin (hari bekerja) berikutnya, saya dipanggil oleh Setiausaha Sulit berkenaan doa yang saya bacakan itu. Hati saya sebenarnya berdebar kerana belum begitu mengenali Tun dan Setiausaha Sulit yang menjadi ketua jabatan di Istana. Ini disebabkan saya baru bertugas belum sampai dua bulan ketika itu. Kalau seandainya saya dimarah, saya bersedia untuk meminta maaf dan membetulkan kesilapan.

Namun lain yang berlaku kerana rupanya Tun Ahmadshah suka akan doa berkenaan. Saya juga pada masa lain pernah bersembang dengan Tun berkenaan doa tersebut. Katanya, doa berkenaan mengingatkan dirinya dan semua yang mendengar bahawa kuasa adalah amanah Allah SWT dan tiada manusia yang berkuasa selama-lamanya. Tiba masanya akan turun juga.  Yang menarik beliau mahu agar doa itu dibacakan setiap kali majlis penganungerahan pingat dan bintang kebesaran diadakan.

Doa dan ayat berkenaan sudah membuktikan bahawa kini beliau juga sudah turun takhta dan tidak mempunyai apa-apa kuasa melainkan terhadap ahli keluarganya sahaja. Selamat bersara Tun Ahmadshah dan selamat memikul tugas DSP Juhar Mahiruddin.

*catatan sempena kuliah al-Quran (tajwid dan tafsir) Surah Ali Imran ayat 23-37 di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral pada 19 Januari 2011.

%d bloggers like this: