Pertemuan minggu ketiga bersama para imam daerah Kota Kinabalu dalam kelas tahsin al-Quran membahaskan tentang tiga rukun qiraat untuk menilai sesuatu bacaan al-Quran itu diterima atau tidak. Barangkali, perbahasan kali ini pada pemerhatian saya adalah sesuatu yang baru bagi mereka. Dalam kehidupan seharian, ada rukun mandi, rukun wudhu’, rukun solat, rukun puasa dan seumpamanya. Kali ini membahaskan rukun qiraat pula.

Rukun pertama untuk menilai sesuatu qiraat diterima atau tidak mestilah menepati Rasm Uthmani. Rukun kedua adalah qiraat tersebut mestilah menepati bahasa arab. Dan rukun ketiga qiraat tersebut mestilah mempunyai sanad atau kesinambungan riwayatnya hingga sampai kepada Rasulullah SAW.

Sayyidina Uthman bin Affan telah menghantar mushaf yang siap ditulisnya ke beberapa kota Islam. Mengikut pendapat yang masyhur, beliau telah menghantar mushaf dan seorang guru ke Mekah, Damsyiq, Kufah, Basrah dan bersamanya di Madinah.

Perlu diingat semasa al-Quran ini ditulis masih terdapat 12,000 sahabat dan mereka semua bersetuju dengan tindakan Uthman dalam penulisan mushaf dan penghantarannya ke kota Islam.

Meskipun al-Quran pada zaman moden ini disebarkan dalam pelbagai jenis dan pendekatan seperti melalui cd, vcd, telefon bimbit, internet dan sebagainya, penulisan yang tepat dan berlandaskan Rasm Uthmani tetap menjadi syarat penting. Kemajuan teknologi yang ada hari ini walaubagaimanapun tidak akan dikecapi jika ulama terdahulu tidak mengambil berat tentang penulisan al-Quran, hafalan, pengajaran dan penyebarannya.

Justeru umat Islam hendaklah mencari guru yang berkeahlian dan berkelayakan untuk mempelajari al-Quran dan hukum-hakam yang berkaitan di dalamnya.

* sebahagian nota saya petik daripada tulisan Ustaz Khairul Anwar Mohammad.