Berikutan beberapa keputusan mesyuarat JK Wakaf Masjid Penampang, satu pertemuan dan kunjungan hormat ke atas Yang Di Pertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Yang Amat Berbahagia Tun Sakaran Dandai telah diadakan pada jam 11.30 pagi isnin lalu di tingkat 1 Bangunan USIA Sembulan. Kunjungan JK Wakaf diketuai oleh pengerusi Tuan Haji Sainuri Yahmin dan tujuh AJK yang lain.

Dalam pertemuan hampir sejam itu, Tuan Haji Sainuri bagi pihak  seluruh ahli  jawatankuasa  telah menyatakan hasrat untuk memohon bantuan dan nasihat Tun Sakaran bagi mencari sumber dana terutama daripada individu korporat dan berpengaruh di negeri dan negara ini.

Tun Sakaran pula menyatakan syukur dan tahniah kerana usaha murni yang dilakukan oleh JK wakaf dan seluruh umat Islam yang menyumbang bagi tertegaknya sebuah rumah Allah di daerah Penampang suatu hari nanti. Beliau turut menceritakan pengalaman menziarahi masjid-masjid di Singapura, Taiwan, Hongkong dan Turki yang menurutnya pengurusan masing-masing kreatif untuk mengimarahkan masjid bagi menarik jamaah datang memakmurkannya.

Memetik sebuah hadith Rasulullah SAW, beliau mengingatkan berkenaan manusia terbaik yang boleh memberi manfaat kepada orang lain. Saya tertarik dengan perumpamaan yang beliau utarakan, katanya umpama sebiji benih yang ditanam, berhasil dan berkekalan hingga ke anak cucu. Beliau memberi contoh usaha orang tua zaman dahulu yang suka menanam buah-buahan untuk dinikmati oleh generasi berikutnya walaupun mereka yang menanam tidak sempat merasa manis buah berkenaan.

Beliau dalam kesempatan itu turut menyatakan hasrat untuk membantu berdasarkan pengalaman dan pengaruh yang ada untuk menyebarluaskan dan berhubung langsung dengan pemimpin tertinggi negeri dan negara bagi mencari dana pembinaan masjid ini. Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan agar sama-sama menjaga hubungan dengan Allah SWT dengan bermunajat kepada-Nya agar semua pihak dibukakan pintu hati untuk menyumbang ke dana wakaf ini.