Malam isnin lalu Jawatankuasa Wakaf Masjid Penampang bermesyuarat lagi dipengerusikan oleh Tuan Haji Sainuri Yahmin di Pejabat ABIM, Sembulan dengan kehadiran yang agak memberansangkan. Saya kira semuanya masih bersemangat untuk berjuang demi merealisasikan tertegaknya sebuah masjid di daerah Penampang.

Walaupun saya beberapa kali tidak dapat hadir kerana sering bertembung program dengan mesyuarat ini, saya tetap diberi maklumat berharga tentang perkembangan JK wakaf ini. Beberapa minggu lalu, mesyuarat dimaklumkan bahawa sebidang tanah yang dimaksudkan untuk dimajukan sebagai masjid Penampang telahpun dibayar harganya dengan kadar tidak kurang setengah juta.

Tugas yang utama bagi semua JK ini bahkan semua umat Islam ialah terus  mempromosi kepada pelbagai pihak agar membantu dalam pembinaan masjid ini. Secara peribadi saya merasakan promosi belum digerakkan seratus peratus kerana masih ramai umat Islam tidak mengetahui usaha ini. Bahkan barangkali ramai umat Islam di Kota Kinabalu dan sekitarnya tidak mengetahui Penampang tidak mempunyai masjid sendiri.

Justeru umat Islam ditagih untuk menyebarkan maklumat ini, menyumbang dan menyampaikan hasrat murni ini kepada umat Islam yang lain di mana juga berada agar semuanya mendapat saham sedekah jariah dengan mewakafkan wang sedikit atau banyak untuk pembinaan masjid ini. Sebagaimana diwar-warkan, kos keseluruhan ialah RM6.5 juta termasuk pembelian tanah yang sudah dibayar.

Antara usaha yang boleh digerakkan bersama ialah :

1) Jabatan, syarikat, kumpulan atau perseorangan mengundang wakil JK ini untuk menyampaikan ceramah berkenaan pembinaan masjid ini dengan niat untuk mempromosi serta memohon sokongan dan sumbangan umat Islam.

2) Para ustaz, pendakwah dan sesiapa sahaja yang berkemampuan agar bercakap berkenaan hal ini di mana sahaja. Dalam khutbah jumaat, ceramah, tazkirah, forum dan seumpamanya. Selain berkenaan keutamaan membantu membina rumah Allah, penerangan berkenaan wakaf juga perlu dijelaskan.

3) Memanjangkan maklumat ini melalui pelbagai kaedah kepada rakan taulan, saudara mara, rakan sepejabat, jiran tetangga, jamaah masjid dan sebagainya. Semua umat Islam boleh berperanan sebagai pengamal media melalui sms, blog, facebook, fax. Pendeknya apa juga cara dan kaedah sekalipun.

4) JK Wakaf ini juga mengalu-alukan sebarang cadangan bernas termasuk kaedah penyebaran yang berkesan, memperkenalkan JK dan hasrat ini kepada ahli-ahli korporat dan hartawan yang berjiwa dermawan untuk didekati seterusnya berpotensi menyumbang untuk masjid ini.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada : Jawatankuasa Wakaf Masjid Penampang D/A Lot 28, Tingkat Satu Lorong Grace Square Jalan Sembulan 88100 Kota Kinabalu Sabah No Tel: 088-212080 No Faks: 088-212080.

No Akaun Bank Islam 100 160 100 745 17