Barangkali jarang benar orang mengadakan kenduri kesyukuran seawal 7.30 pagi seperti yang dilakukan oleh Tuan Haji Zawawi dan keluarganya pada pagi ahad lalu di Sembulan. Namun menariknya, tetamu yang hadir hampir 200 orang, kebanyakannya jamaah Masjid Negeri Sabah dan Surau Riyadhus Solihin, Taman Austral.

Saya difahamkan kenduri seawal itu turut mengambil kira kehadiran jamaah dan kuliah subuh ahad yang berakhir sekitar jam 7 di Masjid Negeri Sabah yang disampaikan oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim. Kuliah subuh ahad oleh Ustaz Muchlish di masjid berkenaan sudah berlangsung lebih 15 tahun dan menghuraikan pelbagai kitab.

Batrisyia Qurratuain binti Mohd Noor Akhwan yang dilahirkan 30 Disember 2010 saya kira beruntung kerana didoakan oleh ramai tetamu pada ahad lalu, ditahnik serta dirasmikan namanya oleh Ustaz Haji Muchlish. Khabarnya seekor kambing turut dikorbankan sebagai aqiqah untuk cucu kedua Haji Zawawi ini.

Tahniah buat keluarga Noor Akhwan dan semoga bayi berkenaan menjadi anak yang solehah.