Saya mengetahui bahawa antara sebab utama Che’gu Jamil Dayan membuat keputusan untuk berpindah ke Perak pada akhir 2009 ialah kerana ingin berbakti dan menumpahkan kasih sayang buat ayahnya yang agak uzur sejak beberapa tahun kebelakangan.

Ketika beliau di Sabah, ada beberapa kali Che’gu Jamil pulang mendadak ke Perak apabila dimaklumkan ayahnya seringkali jatuh sakit. Antara yang saya ingati apabila ketika mengadakan rumah terbuka hari raya di rumahnya di Taman Nelly Kolombong, majlis itu terpaksa dikendalikan oleh isteri dan anak-anaknya apabila Che’gu Jamil bergegas terbang ke Perak sejurus mendengar khabar ayahnya sakit.

Che’gu Jamil pernah bercerita hasratnya untuk pulang walaupun beliau masih berminat untuk menabur bakti di Sabah. Katanya perasaan bersalah tetap wujud kerana hanya adik beradik yang lain bergilir menjaga ayahnya sedangkan beliau berada di Sabah. Justeru keputusan untuk berpindah itu dibuat dengan berat hati meninggalkan Sabah demi berbakti untuk ayahanda beliau.

Genap setahun pulang dan berbakti menjaga ayahnya yang uzur, pada pagi sabtu lalu 15 Januari sekitar jam 9.10 pagi, Dayan bin Juha kembali kerahmatullah di Ipoh. Pada malam sebelum pemergian ayahnya, Che’gu Jamil ada memaklumkan saya situasi ayahnya di ICU.

Katanya isteri beliau adalah orang yang banyak memberi kekuatan dan semangat buat dirinya. Manakan tidak, sejak berumahtangga isterinya bagai kehilangan ‘privasi’ kerana menjaga kakaknya yang cacat dan dalam setahun yang terakhir turut menjaga ayah Che’gu Jamil yang dalam keuzuran.

Che’gu Jamil sendiri bersama ahli keluarga sempat berada di sisi dan mengurus kewajiban keatas janazah Allahyarham. Semoga Allah SWT memberi kesabaran kepada keluarga Allahyarham serta meletakkan Allahyarham bersama ruh orang yang beriman. Insya Allah doa anak-anakĀ  yang soleh mengiringi pemergian beliau di alam barzakh.

Kita semua milik Allah, dan kepadanya kita kembali. Al-Fatihah.