Ayahanda yang dikasihi, Tuan Haji Othman bin Mahali genap berusia 67 tahun hari ini (17 Januari 1944) dan berusia 69 tahun jika menurut kalendar taqwim Islam (21 Muharram 1363). Tiada ucapan yang dapat dilafazkan bagi menyatakan kasih kami anak beranak melainkan doa agar Allah SWT memberikan balasan kebaikan sehebat-hebatnya terhadap beliau yang mesra dipanggil ‘Nenek Aji’ dikalangan 19 orang cucu sehingga kini.
Dalam umur begini beliau masih aktif dalam Persatuan Penulis WP Labuan (PERWILA) sebagai bendahari, Pengerusi JK Masjid al-Muzakkirullah, JK Pertubuhan Peladang Kawasan dan bermacam aktiviti kesukarelawanan bersama rakan-rakan beliau. Semacam aktiviti ini mendarah daging dalam diri beliau sejak kami mengenal erti kehidupan.
PERWILA ditubuhkan sejak 1985 dan beliau adalah antara pengasasnya. Saya ketika sekolah rendah sering mengikuti dan menemani beliau ke mana-mana program penulisan dan kesusasteraan ini. Ketika darjah empat (tahun 1989) saya mengikuti kursus kewartawanan sambilan bimbingan Sdr Emin Madi. Darjah 4 itu saya sudah boleh menulis berita sukan sekolah.
Bapa juga seorang yang gemarkan kamera dan foto. Ke mana-mana beliau pergi kamera sentiasa ada bersama. Barangkali budaya berkamera ini menjangkit kepada kami anak beranak, kerana kami kini masing-masing memiliki kamera khususnya DSLR dan meminati bidang fotografi walaupun tidaklah begitu mahir sangat. Saya pula sudah minat menggambar sejak darjah 4 dan seterusnya ketika zaman sekolah menengah hinggalah sekarang.
Sejak buka sekolah sesi tahun 2011 ini hero lelaki saya, Abdul Hadi, 4 tahun pagi-pagi sering saya sikatkan rambutnya sebelum dihantar ke tadika PASTInya. Apabila dihadapkan ke cermin, selalu saya bertanya : Hadi hensem macam siapa?” “Macam Nenek Aji!” Jawabnya.
***
Keterangan foto : Nenek Aji dan abang nombor dua, Azri Onn (43 tahun) sama-sama menyambut ulangtahun yang sama, 17 Januari. Foto hari raya aidil fitri 1431/2010.