Majlis bermula dengan tahlil ringkas buat bapa kepada salah seorang pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri, Rumah Persekutuan ini yang baru kembali kerahmatullah. Mengambil suasana itu, saya mengisi tazkirah sejam berikutnya untuk menyampaikan hadith Rasulullah SAW yang terkenal :

“Apabila mati seorang manusia, terputuslah amalannya kecuali tiga : Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan untuknya”.

Pokok pangkal dalam tazkirah itu, saya menyeru agar semua memperbanyakkan kebaikan yang akan menjadi bekal kita di hadapan Allah SWT nanti. Apatah lagi sedekah jariah dan ilmu yang baik yang berterusan mengalir pahalanya meskipun kita sudah kembali ke sisi Allah SWT. Selama benda yang disedekahkan masih digunakan, atau ilmu itu masih diamalkan maka insya Allah pahalanya akan sampai.

Demikian juga membiasakan diri mendoakan kebaikan untuk orang lain apatah lagi kepada kedua orang tua, sama ada mereka masih hidup atau sudah meninggal dunia. Anak-anak justeru itu juga mesti dilatih dan dididik untuk mendoakan orang lain terutama ibu bapa sendiri.

Saya gembira hadir buat kali kedua di sini, meskipun notis hanya diterima jam 11.30 malam sebelumnya. Bilik mesyuarat yang kecil menyebabkan nampak padat dengan kehadiran kira-kira 40 orang warga jabatan berkenaan.

***

Kamera canon tertinggal di kereta. Foto menggunakan kamera telefon bimbit, dan saya sedang mempelajari selok beloknya. Jadi maaf, foto kurang jelas.