Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid as-Sobirin, Masjid Kg Sipanggil Putatan

Khutbah hari ini menghuraikan berkenaan sebuah hadith Nabi SAW berkenaan kemanisan iman :

“Ada tiga perkara, sesiapa yang ada pada dirinya perkara-perkara ini, dia mendapat kemanisan iman. Pertama, Allah SWT dan Rasulullah SAW lebih dikasihinya berbanding yang lain. Kedua, dia mengasihi seseorang kerana Allah SWT. Ketiga, dia benci kembali kepada kekufuran iaitu murtad sebagaimana ia benci dicampakkan ke dalam api neraka”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Iman bukan cukup hanya dengan angan-angan, tetapi wajib dimantapkan dalam hati, dikuatkan dengan perkataan dan perbuatan yang dijiwai sepenuh hati. Kata kunci segala permasalahan ini adalah ikhlas, dan ikhlas pula dianugerahi pada hamba yang bersih hatinya.

Oleh itu dari segi contoh dan praktikalnya, seorang hamba Allah yang mendapat kemanisan iman dengan mencintai Allah SWT dan Rasulullah SAW, mudah menggerakkan kakinya ke masjid atau surau segera menyahut seruan solat, mudah untuk bersedekah kerana mengetahui kelebihan dan keutamaannya di sisi Allah, mudah melaksanakan perintah Allah dan Rasulullah sama ada perintah wajib atau sunnat kerana kecintaannya kepada Allah dan Rasulullah mengatasi yang lain.

Orang seperti ini juga mudah untuk meninggalkan kemungkaran tanpa banyak soal semata-mata tunduk kepada Allah SWT. Dalam masa yang sama, terdapat ramai umat Islam yang suka mempertikaikan perintah dan larangan Allah SWT, dengan bertanya secara sindiran, kenapa begini kenapa begitu, kenapa tidak begini kenapa tidak begitu terhadap suruhan Allah SWT. Bahkan ada yang suka mempermain-mainkan hukum agama dengan mempermain-mainkan dan merendah-rendahkan perintah agama.

Yang kedua, ialah ia mengasihi seseorang adalah kerana Allah SWT. Mencintai seseorang kerana Allah maksudnya menjaga hubungan kasih sayang antara seorang Muslim dengan saudaranya atas landasan iman kepada Allah SWT dan amal soleh. Bukan kerana keuntungan kebendaan atau harta, kerana projek yang diidamkan, atau kerana pangkat dan jawatan yang disandangnya.

Tanda kemanisan iman yang ketiga ialah ia benci kepada kekufuran atau murtad setelah ia diberikan hidayah oleh Allah SWT. Seseorang yang telah diberikan hidayat oleh Allah Taala daripada akan berusaha untuk sentiasa mentaati segala perintahNya. Ia sesekali tidak berkehendak  untuk kembali kepada kekufuran. Jika ia kembali kepada kekufuran dan maksiat bermakna api neraka sedang menantinya. Sedangkan ia tidak berkehendak kepada azab api neraka.