Archive for 13 Januari 2011


Minggu kedua bersama-sama para imam seluruh Kota Kinabalu di Masjid Negeri Sabah dalam kuliah tafaqquh dengan kehadiran lebih ramai kali ini. Muqaddimah pengajian al-Quran kali ini menyentuh berkenaan huraian makna al-Quran, serta fadhilat atau kelebihan membaca al-Quran.

Hadith demi hadith dibacakan, yang saya yakini majoriti para imam di hadapan saya mengetahui secara umum akan hadith-hadith tersebut. Yang dituntut selepas daripada membaca hadith berkenaan ialah praktikalnya, iaitu mengamalkan tilawah al-Quran, sama ada faham atau tidak tetap dituntut. Saya mencadangkan tilawah al-Quran dengan lebih tersusun dan berjadual secara konsisten. Contohnya :

Jadual 1 :

Baca al-Quran satu juzu’ satu hari. Pukul ratanya baca dua helai setiap selepas selesai satu waktu solat. Dua helai x lima waktu = 10 muka surat, iaitu satu juzu’. Agaklah satu muka surat lima minit, maka dua helai (4 muka surat) ialah dua puluh minit. Kalau jadual ini dipraktikkan, maka pembaca akan khatam sebulan sekali.

Jadual 2 :

Baca al-Quran setengah juzu’ satu hari. Pukul ratanya baca satu helai (dua muka surat) setiap selepas satu waktu solat. Satu helai x lima waktu = 5 muka surat, iaitu setengah juzu’. Oleh itu dalam tempoh dua bulan, maka pembaca akan khatam al-Quran. Setahun, enam kali khatam.

Jadual 3 :

Baca al-Quran satu perempat juzu’ sehari (dua setengah helai @ lima muka surat) iaitu satu muka surat setiap selepas solat fardhu. Pembaca akan khatam al-Quran dalam tempoh empat bulan, atau tiga kali setahun.

Sebagaimana yang dicatatkan dalam buku berkenaan, proses pertama seorang muslim ialah melazimkan diri atau membudayakan dirinya dengan tilawah al-Quran walaupun tidak memahaminya. Sementara proses kedua ialah tilawah al-Quran dengan tadabbur iaitu cuba menghayatinya sedikit demi sedikit. Saya tekankan perkara ini agar para imam sebagai pemimpin masyarakat terlebih dahulu membudayakan amalan ini sebelum menyuruh orang lain melakukannya.

%d bloggers like this: