Khatib : Ustaz Nik Anwar Zakaria al-Besuti (SMKA KK)

Tempat : Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang

Mengambil kesempatan suasana minggu pertama persekolahan bagi sesi 2011, khatib mengajak jamaah agar cakna atau mengambil berat soal pendidikan anak-anak. Ibu bapa, pihak sekolah dan masyarakat seluruhnya hendaklah berganding bahu agar anak-anak mendapat pendidikan sewajarnya.

Ayat dan maksud firman Allah dari surah at-Tahrim ‘Wahai orang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka..’, patut menjadi renungan bersama agar setiap ketua keluarga khususnya memberikan contoh terbaik kepada ahli keluarga untuk membentuk keluarga yang berteraskan syariat Islam.

Selain pendidikan akademik, anak-anak juga mestilah celik aqidah, syariat dan akhlak. Jika tidak menurut khatib, akan lahir dalam masyarakat generasi pelajar yang pintar, berbangga dengan serba ‘A’ namun mempunyai akhlak yang lebih buruk daripada haiwan.

Sebagai satu contoh asas, solat hendaklah menjadi asas dalam kehidupan umat Islam sebagaimana yang dijadualkan oleh Allah SWT  di samping jadual kehidupan manusia yang lain. Merujuk dengan ungkapan di dalam azan yang menghubungkaitkan antara solat dan kejayaan, justeru umat Islam mesti cemerlang selaras dengan identitinya sebagai seorang muslim.