Suatu hari Ustaz Haji Ismail dari Tambunan bertanya dan meminta pendapat saya tentang hasrat membuka kelas pengajian agama di tempatnya. Pelajarnya adalah terdiri daripada anak-anak orang Islam sekitar Tambunan. Salah satu perbincangan santai kami adalah tentang subjek hafazan al-Quran.

“Lazimi mereka mendengar al-Quran terlebih dahulu ustaz”. Cadang saya. Saya katakan, “saya tidak pernah menghafal al-Fatihah. Tetapi saya hafal sebab hari-hari mendengar bapa baca dalam solat maghrib dan isyak”. Saya mengimbas kenangan zaman kanak-kanak.

Ketika dalam darjah 4-6 di Sekolah Rendah Agama Islam Membedai, WP Labuan pula, kami melazimi membaca surah at-Toriq hingga surah al-Layl beramai-ramai setiap hari tanpa menghafaznya. Ia dilakukan sebelum guru agama pertama masuk ke dalam kelas. Ertinya tanpa ada pengawasan guru. Akhirnya kami hafaz surah -surah berkenaan.

Bayangkan bagaimana anak-anak sekecil 3-4 tahun sudah boleh mengingati lagu-lagu terkini hanya kerana selalu mendengar lagu berkenaan setiap hari – di radio atau menontonnya di televisyen. Anak-anak adalah manusia yang bersih, belum dipengaruhi dan disibukkan apa-apa. Justeru apa saya yang dilihat dan didengarnya mudah untuk diingatinya.

Semasa kami di maahad dahulu, guru kami (Datuk) Ustaz Haji Asmali Bachi selalu menganjurkan agar selalu mengadakan mengulang hafazan beramai-ramai. Maksudnya, kalau sepuluh orang, seorang baca yang lain dengar dan semak. Kemudian berganti-ganti giliran sehingga semua orang berpeluang membaca dan mendengar. Katanya, mendengar juga adalah salah satu bentuk mengingat al-Quran.

Sehingga hari ini, kami ada lima orang anak. Ketika Nuha masih kecil, dia dibuai dan didodoi sebelum tidur. Amalan itu berterusan dilakukan kepada adik-adiknya. Kadang-kadang, Nuha yang kini sudah darjah dua yang mendodoikan adik-adiknya dengan zikir munajat yang pernah diperdengarkan kepadanya semasa kecil dahulu. Saya faham, dia boleh ‘menzikirkan’ adik-adiknya kerana sudah bertahun-tahun dia mendengar umminya mendodoikan dengan zikir munajat yang sama.

Selain membaca, amalan mendengar al-Quran juga wajar dilazimi oleh umat Islam kerana ada riwayat Nabi SAW juga pernah sahabatnya membacakan untuknya dan baginda SAW mendengar. Selepas zuhur, saya mendengar bacaan orang yang belajar al-Quran. Pada hari sabtu, saya berada di KUWASA, mendengar beberapa orang yang belajar al-Quran antara 10 pagi hingga 5 petang.

Saya berdoa satu hari saya kembali ke Maahad Tahfiz untuk mendengar para pelajar penghafaz al-Quran memperdengarkan hafazan mereka untuk disemak. Mendengar al-Quran adalah antara cara menjaga hafazan al-Quran. Alhamdulillah Allah masih memberi nikmat pendengaran untuk mendengar al-Quran dikumandangkan sama ada di dalam atau di luar solat; di masjid, surau, radio, televisyen, internet bahkan di mana jua berada.