JHEAINS dan rangkaian Radio Sabah V FM minggu lalu bermesyuarat di tingkat 10 Wisma MUIS untuk meningkatkan lagi program agama di radio berkenaan. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ustaz Sakaria Samela itu dihadiri kedua-dua wakil agensi. Ada yang hangat dibincangkan ialah untuk mencari dan mengumpulkan penceramah dan pentazkirah dalam bahasa bajau, kadazan, dusun, murut dan mandarin.

Agamawan yang mahir dalam bahasa berkenaan akan dimanfaatkan untuk mengisi slot tazkirah di radio berkenaan dan juga dibawa dalam program forum, ceramah dan seumpamanya di pelusuk kampung dan lokasi tertentu untuk memahamkan agama Islam kepada golongan sasaran.

Dalam soal ini saya teringat kepada Allahyarham Ustaz Haji Nahar Mantamin yang pernah terlibat dalam radio Sabah V FM dan menjadi penceramah, pentazkirah dan pembimbing soal jawab dalam bahasa bajau. Justeru, saya menyeru kawan-kawan pendakwah yang mahir dalam bahasa berkenaan tampil dan kita akan serapkan dalam slot tazkirah di Radio Sabah V FM terlebih dahulu sebelum kita luaskan dalam program lain.