Ini tahun ketiga saya terlibat mengisi program keagamaan di GiatMARA Kota Kinabalu dengan usaha bersungguh Cikgu Ismail Abdul Rahman yang saya kenali sejak tahun 2009. Sementara pengurusnya Sdr Mushdi Beludtu pula sudah saya kenali sekitar 10 tahun kebelakangan, sebelum beliau bertugas di GiatMARA lagi. Beliau memberi sokongan penuh agar program keagamaan diadakan dan diperkukuhkan sedikit demi sedikit.

Alhamdulillah, kumpulan pelatih hampir 50 orang dari seluruh negeri baru melapor diri dan melalui minggu suaikenal dengan pelbagai pengisian. Ceramah yang diamanahkan kepada saya adalah salahsatunya dan dihadiri oleh semua pelatih termasuk seorang remaja perempuan dan pelatih yang bukan beragama Islam.

Diriwayatkan bahawa Jibril AS berkata kepada Rasulullah SAW : “Wahai Muhammad.. Hiduplah semahumu, sesungguhnya engkau akan mati; sayangilah sesiapa yang engkau suka, sesungguhnya kamu akan berpisah; buatlah sekehendakmu, sesungguhnya kamu akan dibalas, Ketahuilah bahawa kemuliaan seorang mukmin itu pada bersembahyang malam dan kehormatan (harga) dirinya ialah dengan tidak meminta-minta pada orang lain. (Thabrani)”.

GiatMARA Kota Kinabalu bakal berpindah lokasi selepas ini ke Jalan Lintas, di belakang bangunan Puspakom, laluan ke Kg Cenderakasih. Walaubagaimanapun, kursus yang ditawarkan adalah kekal seperti biasa iaitu teknologi automotif dan teknologi motorsikal.