Alhamdulillah, saya mengisi minggu pertama tazkirah mingguan di pejabat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bersama kira-kira 20 orang pegawai dan warga MUIS yang hadir dalam program mingguan mereka setiap khamis. Pejabat MUIS khabarnya berazam untuk mengaktifkan kembali program ini setelah beberapa bulan tergendala khususnya sebelum dan selepas MTQ kebangsaan.

Bilik mesyuarat yang menjadi lokasi takzirah mingguan ini dibaik-pulih dan dijadikan sebagai bilik jamaah hakim semasa Majlis Tilawah al-Quran Kebangsaan yang diadakan di Dewan Saadah pada julai lalu. Setelah setengah tahun saya tidak ke sini, bilik ini semakin indah dan berseri. Mudah-mudahan seri pejabat ini berkembang dan terus mekar dengan program tazkirah mingguan mereka.

Di sini saya sampaikan satu lagi tazkirah yang saya petik dari kitab Nasoihul Ibad – tiga perkara yang mesti diambil berat oleh orang berakal sebagaimana yang diriwayatkan oleh Nabi Daud AS, katanya : Telah diwahyukan dalam kitab Zabur sebagaimana berikut :

“Hak atas orang yang berakal adalah jangan sibuk melainkan dengan tiga perkara : Menghimpun bekalan untuk akhirat, mencari biaya untuk sekadar dapat hidup dan mencari kelazatan dengan cara yang halal”

Bekalan akhirat yang dihimpun dengan melakukan amal soleh, sementara biaya hidup merangkumi pembiayaan beribadah dan mencari kemaslahatan, dan kelazatan hidup wajib mencari yang halal dengan cara yang halal juga.

Orang yang sibuk semata-mata mencari kekayaan yang tidak dimanfaatkan untuk kemudahan beribadah adalah termasuk orang yang kurang waras kerana ia sibuk mencari sesuatu yang bakal ditinggalkannya di dunia, sedangkan kematian itu adalah suatu yang pasti. Justeru benar nabi SAW ada mengingatkan bahawa orang yang bijak adalah orang yang bekerja dan beramal untuk kepentingan setelah matinya.